HANNAH Gutierrez-Reed dipenjara 18 bulan. FOTO Reuters.
HANNAH Gutierrez-Reed dipenjara 18 bulan. FOTO Reuters.
AFP

Los Angeles: Pengendali senjata api di set penggambaran filem Rust dihukum penjara 18 bulan selepas didapati bersalah menyebabkan kematian ahli sinematografi, Halyna Hutchins pada 2021.

Hakim Mary Marlowe Somme menjatuhkan hukuman itu terhadap Hannah Gutierrez, 26, di mahkamah New Mexico semalam, sambil memaklumkan yang wanita itu tidak menyesali perbuatannya.

"Kamu adalah 'perisai', yang berdiri di antara senjata selamat dan senjata yang boleh membunuh seseorang. Kamu sendirian yang menukarkan senjata selamat menjadi senjata bawa maut.

"Disebabkan kamu juga, Hutchins mungkin boleh hidup. Seorang suami boleh ada pasangan di sisinya dan anak lelaki mempunyai ibu," katanya.

Dalam perbicaraan 10 hari Gutierrez bagi pembunuhan tanpa sengaja itu, mahkamah turut mendengar kegagalannya mematuhi peraturan keselamatan asas selaku individu bertanggungjawab mengurus senjata api di set penggambaran, meninggalkan senjata api tanpa pengawasan dan membenarkan pelakon termasuk Alec Baldwin, mengacukan senjata semberono.

Mahkamah juga mendengar bagaimana dia bertanggungjawab terhadap kehadiran enam peluru dan memuatkan satu daripadanya ke dalam Colt .45 yang digunakan Baldwin.

Tembakan daripada senjata itu dilepaskan ketika babak Baldwin berlawan di gereja kayu yang mengorbankan Hutchins dan menyebabkan pengarah Joel Souza cedera.

Gutierrez menangis teresak-esak ketika merayu tidak dipenjarakan, namun tetap bertegas dia tidak bersalah sepenuhnya.

"Yang arif, apabila saya bekerja untuk Rust, saya masih muda dan naif.

"Tetapi saya serius dalam bekerja, saya tahu bagaimanapun melakukannya walaupun tidak mempunyai masa cukup, sumber dan kakitangan sesuai," katanya.

Bagaimanapun, hakim menolak rayuan itu.

Baldwin yang juga seorang penerbit turut menghadapi tuduhan sama pada Julai, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Jika disabitkan, beliau berdepan hukuman penjara 18 bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 3:14 PM