NORLIA bersyukur mendapat bantuan. FOTO Mohd Yusno Ariffin
NORLIA bersyukur mendapat bantuan. FOTO Mohd Yusno Ariffin
Ridzuan Abdul Rahman


WALAUPUN kebenaran bekerja sudah diberikan kepada mereka, masih ada penggiat seni yang terkesan akibat penularan Covid-19 sejak lebih setahun lalu.

Golongan penyanyi dan pemuzik misalnya masih belum mengadakan persembahan dan konsert kerana masih mengkaji prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Melihatkan situasi yang masih sukar ini mendorong Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez untuk membantu walaupun terpaksa mengeluarkan dana sendiri.

"Saya prihatin terhadap penggiat seni yang hidup susah tak kira sama ada penyanyi, pelakon mahupun pemuzik. Saya tak pernah berdiam diri dalam membantu penggiat seni yang berada dalam kesempitan hidup.

"Ramai yang menghubungi saya meluahkan kesusahan mereka. Ada waktunya saya mengeluarkan wang sendiri untuk membantu mereka sekadar yang termampu," katanya.

Freddie berkata, mereka beruntung apabila Yayasan AEON Malaysia menyatakan hasrat untuk membantu dalam kerja-kerja amal begini.

"Saya rasa bertuah dan anggap ini rezeki yang tak terduga kepada mereka. Karyawan tak minta tapi pihak AEON yang datang tanya kepada kami. Itu yang saya terharu atas kesudian mereka datang tanya, macam mana mereka boleh bantu kami. Perbincangan ini berlangsung Januari lalu dan bermula Februari bantuan mula diberikan sehingga Ogos ini," katanya.

Menurutnya, sehingga kini mereka sudah mengenal pasti kira-kira 500 penggiat seni dalam kalangan pemuzik, buskers, artis veteran dan termasuk pekerja belakang tabir yang dibantu.

"Setiap penerima akan diberikan barangan keperluan asas seperti beras, telur, tepung, gula, minyak masak dan lain-lain selama enam bulan.

"Penerima sumbangan daripada Yayasan AEON ini kita utamakan mengikut keperluan mereka. Dalam tempoh enam bulan ini, dianggarkan 3,000 peket barang akan diberikan kepada penerima dan nilainya kira-kira RM500,000.

"Ini adalah CSR (Tanggungjawab Sosial Korporat) kali ketiga yang Karyawan lakukan. Sebelum ini kita pernah buat dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dengan nilai sumbangan sebanyak RM10,000 dan Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia)," katanya pada sidang media yang diadakan, baru-baru ini.

Antara penerima yang hadir pada majlis berkenaan ialah Norlia Ghani, S Rohani, Ruzilan Omar (pemain dram kumpulan Sons Of Adam), Asheed (penyanyi Def-Gab-C) dan Bob Buskers.

Sementara itu, Presiden Yayasan AEON Malaysia, Datin Yasmin Ahmad Merican berkata, projek Bersama AEON diwujudkan untuk membantu keluarga yang terkesan dengan pandemik Covid-19 terutamanya dari industri hiburan, perhotelan dan penerbangan.

Katanya, menerusi projek itu kira-kira 3,000 keluarga dari tiga industri terbabit akan menerima sumbangan barangan keperluan dapur sepanjang tempoh dua hingga enam bulan.

"Sebagai sebuah Yayasan, kami akan meneruskan lagi program-program yang bersesuaian dengan objektif komuniti kami. Insya-Allah kami akan melakukan yang terbaik dan berazam untuk memberi lebih banyak sumbangan pada tahun ini dan tahun hadapan kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Norlia yang ditemui berterima kasih terhadap usaha yang dilakukan oleh Karyawan dan Yayasan AEON Malaysia.

"Semua orang faham dalam tempoh ini kami penggiat seni memang terkesan. Saya sendiri akui pendapatan terjejas teruk. Saya rasai keperitan. Alhamdulillah dengan adanya bantuan ini dapatlah saya manfaatkan untuk kegunaan seharian.

"Paling utama, pihak AEON Malaysia hantar sendiri bantuan ke rumah tanpa saya perlu pergi ambil sendiri. Terima kasih teramat sangat buat mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 6:10 AM