ZAINOL Macwilson. FOTO IG
ZAINOL Macwilson. FOTO IG
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon Zainol MacWilson berkongsi perasaan gembira apabila mendapat cucu sulung hasil perkahwinan anaknya, Zahirah dan Aiman Hakim.

Zainol, 64, berkata, dia juga terharu dan berbangga apabila kini bergelar datuk.  

"Syukur kedua-duanya iaitu anak dan cucu saya sihat. Cuma, nama masih belum ada dan mereka ada juga tanya pada saya nama yang sesuai untuk diberikan.

"Namun saya serahkan kepada mereka sendiri untuk memberi nama. Kalau saya beri pun, mereka pasti ada pilihan sendiri. Tapi, saya seronok tatap gambar cucu yang dikirim mereka menerusi WhatsApp," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu Aiman Hakim dan Zahirah membuat perkongsian foto bayi lelaki mereka di Instagram yang lahir pada 5 Januari lalu di Perth, Australia.

 Dalam masa sama, Zainal melahirkan perasaan sedih kerana tidak berpeluang menatap cucunya secara langsung di depan mata.

"Agak sedih kerana saya tak berpeluang balik ke Perth, Australia kerana dalam keadaan sekarang memang tiada penerbangan ke sana.

"Kalau ada pun, ia menggunakan syarikat penerbangan luar negara seperti Singapore Airlines dan kosnya agak mahal sekitar RM8,000.

"Dahulu dengan Penerbangan Malaysia (MAS) atau penerbangan tempatan lain, kosnya hanya RM4,000 sahaja untuk penerbangan pergi dan balik. Sekarang untuk pergi sahaja dah cecah RM5,000," katanya.

Menurutnya, Zahirah memintanya bersabar serta jangan bimbang kerana dia mendapat penjagaan rapi daripada ibu dan adik beradiknya di sana.

"Saya pujuk hati dan apabila mereka balik ke Malaysia nanti, giliran saya pula yang layan. Namun, saya masih belum pasti bila mereka akan balik ke sini.

"Lagipun kena tengok juga pada penerbangan kalau ada. Yang paling dirisaukan ialah mereka dan cucu saya akan kena buat ujian Covid-19 dan jalani kuarantin.

"Jadi, biarlah cucu saya membesar dahulu. Lagipun, Aiman dapat visa agak lama dan tak perlu dirisaukan sangat. 

"Sebagai ayah, saya mewakili  Zahirah dan Aiman, rasa begitu terharu di atas ratusan ucapan tahniah dan doa daripada peminat-peminat kami bertiga. Terima kasih," katanya.

Dalam pada itu, Zainol yang kini membintangi drama berjudul Tak Sempurna Menyintaimu dan Hari Kita Jatuh Cinta berkata, anak lelakinya, Muhammad Haziq Macwilson yang aktif bermain bola, mungkin akan pulang dengan kakaknya nanti.

"Dia belum dapat tempat dengan mana-mana pasukan lagi, tapi dah ada dua jurulatih legenda sudah menyatakan minat untuk menguji bakatnya. 

"Saya berharap dia mendapat tempat sebagai pemain bola sepak profesional di negara ini untuk mana-mana pasukan nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 7:39 PM