ZAINOL mahu Zahirah berhati-hati pilih kawan.
ZAINOL mahu Zahirah berhati-hati pilih kawan.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Pelakon Zainol MacWilson, 56, menegaskan masih terlalu awal untuk anaknya, Zahirah MacWilson memikirkan soal berkahwin dengan aktor kacak, Zul Ariffin.

Zainol juga enggan menggunakan istilah restu dalam perhubungan anaknya kerana menganggap mereka sekadar berkawan.

“Memandangkan hubungan mereka baru lagi, terlalu awal untuk bercakap soal kahwin. Seboleh-bolehnya saya tak mahu fikirkan perkara ini.

“Kalau setakat bercinta tak ada masalah. Lagipun Zahirah masih baru dalam industri hiburan tempatan, masih banyak perlu dia belajar,” katanya.

Jawapan Zainol itu sekali gus menafikan dia meragui keikhlasan Zul Ariffin yang mencipta nama menerusi drama Rindu Awak 200%.

“Zul sangat prihatin dan ambil berat mengenai Zahirah. Malah kali pertama dia berjumpa saya dan meminta izin mahu berkawan dengan Zahirah, saya tak menghalang.

“Cuma sebagai bapa saya mahu Zahirah menjaga nama baiknya dan keluarga. Bukan apa, kebelakangan ini dia sering dikaitkan dengan cerita negatif. Saya mahu dia lebih berhati-hati,” katanya.

Zainol turut berharap anak gadisnya itu tidak terburu-buru menamatkan zaman bujang.

“Saya tak boleh ada bersama Zahirah 24 jam. Saya pun ada kerja lain nak buat, sebab itulah saya mahu mereka jaga diri.

“Walaupun berdarah kacukan, saya masih berpegang dengan adat dan budaya timur. Saya mahu mereka juga begitu,” katanya.

Zainol yang sudah lapan tahun menetap di Perth, Australia menjelaskan, sebelum pulang ke tanah air dia sudah menasihati Zahirah supaya berhati-hati memilih kawan.

Menyentuh perkembangan kerjayanya, pelakon dan bekas pembaca berita TV3 ini mengambil keputusan kembali aktif sebagai pelakon serta pengacara.

Dia kini sibuk menjalani penggambaran telefilem berjudul Husin... Peninglah di samping Alif Satar, Mia Ahmad dan Tam Suhaimi.

“Alang-alang ada di sini saya ambil peluang untuk kembali berlakon. Semasa di Perth lagi sudah ada tawaran daripada Zeel Production sebagai pelakon undangan dalam drama Che Pa untuk siaran Astro Ria,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2015 @ 8:40 AM