AIMAN  kagum dengan bapa Zahirah yang membesarkannya dengan penuh kasih sayang dan bersikap melindungi. FOTO Khairul Azhar Ahmad
AIMAN kagum dengan bapa Zahirah yang membesarkannya dengan penuh kasih sayang dan bersikap melindungi. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Najiy Jefri


PELAKON Aiman Hakim Ridza menjelaskan kenyataan yang keluarkan bapa kekasihnya Zahirah Macwilson iaitu Zainol Macwilson adalah bukti kasih seorang bapa kepada anaknya.

Aiman berkata, tindakan bapa Zahirah adalah untuk melindungi dan memastikan anak perempuannya itu berada dalam keadaan yang baik.

“Sebenarnya kami sudah bertemu dua tiga kali sebelum ini. Saya faham apa yang cuba disampaikan bapa Zahirah. Sebagai bapa dia menjadi seorang yang sangat ‘melindungi’.

“Ini kerana dia membesarkan Zahirah dengan penuh kasih sayang. Jadi dia hanya mahu menjaga anak perempuannya dan saya faham perkara itu.

“Saya juga kagum dengan bapa Zahirah yang dia sentiasa mengambil berat dan memberikan sepenuh kasih sayang. Saya harap dapat menyayangi Zahirah seperti mana dia menyayangi anak perempuannya,” katanya ketika ditemui pada majlis Tayangan Perdana Ramadan Astro 2019 di Astro Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.

Terdahulu Zainol meminta pasangan itu untuk meminta restu daripadanya sebelum membawa hubungan percintaan ke fasa seterusnya.

Bagaimanapun Zainol kemudiannya memohon maaf atas kenyataan yang mendakwa belum bertemu dan mengenali rapat pelakon lelaki itu.

Sementara itu, Aiman tidak menolak kehadirannya untuk bertemu keluarga Zahirah di Perth, Australia pada Ramadan nanti adalah untuk membincangkan mengenai hubungan mereka ke fasa seterusnya.

“Kami ke sana untuk ‘benda baik’. Insya-Allah perkara membabitkan pertunangan dan perkahwinan adalah sesuatu yang baik. Jadi doakan yang terbaik buat kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 5:20 PM