TAJUL bersama isteri dan anak sulungnya, Adriana Carissa. FOTO IG Tajul Ariff
TAJUL bersama isteri dan anak sulungnya, Adriana Carissa. FOTO IG Tajul Ariff
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Penyanyi Tajul Ariff mendedahkan rezekinya dapat membeli kereta mewah jenis BMW baru-baru ini, sebagai rezeki keluarga dan bakal anak keduanya yang dijangka lahir pada Mei, depan.

Tajul, 22, berkata dia membeli kereta baharu itu demi keselesaan isteri dan anak memandangkan ahli keluarganya pun akan bertambah, selain ia kereta idaman yang diimpikannya.

"Saya hanya kongsi foto kereta baharu itu di InstagramStory dan tak sangka pula ada netizen yang  perasan, hingga ada di antaranya menghantar mesej langsung (DM) kepada saya bertanya.

"Rata-rata yang DM itu mempersoalkan dari mana saya dapat duit beli kereta mewah kerana menyanyi pun,  bukanlah popular. Tak dinafikan, saya sedar diri memang tidak terkenal pun.

"Namun, saya membeli kereta BMW itu dengan wang halal hasil membantu isteri, Nurul Shamieza Eddie yang berniaga menjual barang-barang untuk wanita secara dalam talian sejak tiga tahun lalu," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Tajul, dia tahu pada ketika penularan Covid-19 dalam negara ketika ini, industri hiburan terutama bidang nyanyian memang terjejas kerana aktiviti persembahan tidak dibenarkan berlangsung.

"Tolong tengok positif, rezeki Allah SWT ini luas dan tidak hanya menyanyi atau kerjaya seni sahaja. Saya dan isteri, kami saling membantu dalam perniagaan di usahakan dan sekarang Alhamdulillah, ada rezeki lebih  dapat beli kereta baharu.

"Kami sangat berusaha dalam perniagaan ini untuk mencari rezeki halal menyara keluarga. Saya harap dengan penjelasan ini, kepada semua yang bertanya itu berpuas hati," katanya.

Baru-baru ini, Tajul turut mengumumkan isterinya hamil enam bulan, anak kedua mereka. Pasangan muda yang berkahwin secara rahsia pada 2017 itu, sudah dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Adriana Carissa yang kini berusia setahun dua bulan.

Selain itu, untuk kerjaya nyanyiannya pula, Tajul juga baharu muncul dengan lagu solo berjudul Izinkan Aku hasil ciptaan penyanyi dan komposer muda dikenali Tuah Adzmi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 4:46 PM