BERGABUNG lagi, Tajul dan Wany tiada masalah untuk bekerjasama.
BERGABUNG lagi, Tajul dan Wany tiada masalah untuk bekerjasama.
Norhayati Nordin

PENANGAN gandingan duet antara penyanyi Tajul Ariff dan Wany Hasrita bukan baharu kerana mereka sudah membuktikan keserasian menerusi beberapa lagu sebelum ini seperti Di Sana Cinta Di Sini Rindu, Rindu Dalam Benci dan Aku Serius.

Selepas kali terakhir berduet sama pada 2018, kini Tajul yang juga adik bongsu Allahyarham Achik Spin kembali bergabung dengan Wany Hasrita menerusi lagu Tragedi Cinta yang pernah dinyanyikan Achik Spin dan Siti Nordiana.

Sudah dilancarkan di semua platform muzik pada 9 Disember lalu, hingga kini muzik video lagu Tragedi Cinta mencatat lebih 800,000 tontonan dan sohor kini #15 untuk muzik di YouTube Malaysia.

Mengulas kerjasama itu, Tajul berkata, selepas tiga tahun mereka berusaha memacu karier seni nyanyian masing-masing secara solo, kini tiba masanya untuk bergabung semula merakamkan lagu ciptaan Eddie Hamid dan Radeen Sri.

"Sebenarnya permintaan untuk kami tampil berduet masih ada diterima daripada peminat. Ramai juga yang mahu saya berduet lagi dengan Wany. Malah, kami pula di bawah naungan syarikat rakaman yang sama, FMC Music.

"Apabila berbincang dengan pihak pengurusan syarikat, alhamdulillah mereka pun okey dan mencadangkan kami merakamkan lagu Tragedi Cinta ini. Sebaik dengar saja melodi dan liriknya, kami berdua terus setuju," katanya.

Menurut Tajul, dia secara peribadi sukakan lagu Tragedi Cinta itu kerana dirasakan agak sesuai dengan vokal Wany yang dianggapnya agak sedap dan cukup serasi apabila mereka bergabung bersama.

Bagi Wany Hasrita pula, dia selesa menyanyi duet dengan Tajul dan tiada masalah untuk terus bekerjasama. Katanya, dia juga menghormati Tajul sebagai rakan sesama artis yang sudah berkeluarga.

"Sejujurnya, saya memang tiada masalah berduet lagi dengan Tajul kerana kami sudah pernah bekerjasama dulu. Ditambah paling penting, lagu-lagu duet kami sebelum ini pun diterima baik oleh kebanyakan pendengar muzik tempatan.

"Jadi, kenapa tidak untuk kami teruskan lagi kerjasama yang sudah sedia ada. Malah, kali terakhir kami rakam lagu duet pun sekitar tiga tahun lalu dan agak lama juga kami 'berehat seketika' dari bekerjasama.

"Lagipun, saya yakin mungkin masih ada segelintir peminat yang tetap menantikan kemunculan single duet baharu daripada kami. Malah, yang pasti niat kami juga untuk mengubat kerinduan peminat dengan lagu duet Tragedi Cinta ini," katanya.

Menurut Wany yang kini popular dengan lagu duet, Belenggu Rindu dan Pedas, baginya single Tragedi Cinta sedikit sebanyak dapat mengembalikan nostalgia peminat terhadap lagu-lagu duetnya bersama Tajul yang sedap didengar.

Berbicara juga mengenai harapan pada lagu Tragedi Cinta, Tajul dan Wany berharap peminat akan terus menyukai lagu itu serta menyokong kerjaya seni mereka. Bagi mereka, sokongan peminat penting untuk karier sebagai penggiat seni seperti penyanyi.

Apa pun Wany berkata, semoga tidak ada perbandingan antara lagu duet lama mereka dengan karya baharu ini. Katanya, semua single yang dirakam itu sudah tentu mempunyai 'air lagu' dan keistimewaan tersendiri.

Mengulas pula hasrat kerjasama dengan penyanyi lain, Wany mengakui dia menyimpan impian untuk berduet dalam sebuah single bersama Misha Omar serta rakan baiknya, Wani Syaz.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 6:35 AM