SOROK’ wajah anak kerana ikut nasihat ibu.
SOROK’ wajah anak kerana ikut nasihat ibu.
Norhayati Nordin

SELEPAS puas berahsia, penyanyi Tajul Arif, 21, akhirnya sedia berkongsi ‘wajah kesayangannya’ iaitu isteri dan anak dalam muzik video lagu barunya berjudul Ku Sayang Kau Rindu.

Menerusi muzik video itu dipaparkan babak gembira, ceria dan bahagia Tajul menyulam kasih bersama isteri, Nurul Syamieza Eddie, 23, yang dilengkapkan dengan kehadiran cahaya mata, Adriana Carissa yang kini berusia dua bulan lebih.

Tajul berkata, seiring dengan penceritaan lagu Ku Sayang Kau Rindu yang mengisahkan percintaan bahagia, dia nekad mengetengahkan isteri dan anaknya bersama dalam muzik video itu.

“Ia kali pertama sebenarnya secara ‘rasmi’ saya tampilkan isteri dan anak sekali gus. Apatah lagi, ia masa sesuai untuk kami bertiga disatukan dalam muzik video lagu saya sendiri.

“Itulah realiti kehidupan saya sekarang sebagai lelaki matang yang sudah berkeluarga dan memiliki tanggungjawab besar,” katanya.

Menurut Tajul, dia memang merahsiakan wajah Adriana Carissa sejak bayi perempuannya itu dilahirkan pada 17 November lalu.

“Saya tidak menunjukkan muka bayi selepas lahir kerana menghormati pesanan ibu saya. Ibu minta supaya tidak didedahkan wajah anak terlalu awal dan lebih baik menunggu masa sesuai.

TAJUL bersama isteri, Nurul Syamieza yang dinikahi pada 10 Disember 2017.
TAJUL bersama isteri, Nurul Syamieza yang dinikahi pada 10 Disember 2017.

“Jadi, memandangkan saya pun ada lagu baru yang mengisahkan kasih sayang, cinta dan kekeluargaan, maka ada baiknya ditampilkan isteri dan anak bersama,” katanya.

Menurut Tajul, secara tidak langsung dia dapat mengabadikan kenangan bayi comel dan isteri tercintanya dalam muzik video lagu Ku Sayang Kau Rindu itu.

Mengulas mengenai penerimaannya jika muncul dakwaan warganet pada kesanggupan ‘menggunakan anak dan isteri’ untuk promosi lagu baru, Tajul berkata, dia sudah memikirkan perkara itu dengan baik.

“Saya menafikannya kerana yang pasti sekarang masa sesuai untuk berkongsi wajah Adriana Carissa dan isteri kepada penonton.

“Ketika lahir, bayi terlalu kecil dan isteri pun dalam pantang. Jadi, sekarang saya fikir sudah sampai masa tepat untuk perkongsian.

“Lagipun, kemunculan mereka sebagai tanda sokongan dalam kerjaya seni saya. Apatah lagi, mereka harta paling bernilai pada diri saya. Apapun, terpulanglah pada tanggapan masing-masing. Saya terima dengan positif setiap komen dan kritikan diberikan secara positif,” katanya.

ADRIANA Carissa kini sudah berusia lebih dua bulan.
ADRIANA Carissa kini sudah berusia lebih dua bulan.

Tajul yang bergelar ‘bapa muda’ bertemu jodoh dengan Nurul Syamieza pada 10 Disember 2017 dalam majlis pernikahan yang dijalankan secara rahsia.

Bagi menjaga populariti kerjayanya sebagai selebriti dikenali, Tajul berjaya menyembunyikan perkahwinannya selama dua tahun daripada media dan masyarakat.

Pengumuman sudah berkahwin hanya dibuat Tajul yang popular dengan lagu Sedalam Dalam Rindu apabila isterinya sarat hamil lapan bulan pada Oktober tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020 @ 6:10 AM