IG tajulofficial ‘dipegang’ oleh isterinya.
IG tajulofficial ‘dipegang’ oleh isterinya.
Syafil Syazwan Jefri


ADA mana-mana gadis atau wanita nak ‘try’ Tajul menerusi media sosial? Lupakan; ini kerana kata laluan akaun media sosial Tajul seperti Instagram ‘dipegang’ isterinya, Nurul Shamieza Eddie.

Tajul, 22, berkata, isterinya memegang kata laluan dan dapat mengakses akaun media sosialnya.

"Dia ada kata laluan dan dia yang menjaga akaun media sosial saya. Jadi, kalau ada sebarang mesej yang keterlaluan atau tidak kena, dia akan padam.

"Saya pun boleh akses ke akaun media sosialnya. Jadi, kami masing-masing tahu dan bersikap telus dalam hubungan rumah tangga kami," katanya.

Tajul tidak menafikan dia pernah diganggu wanita terutama selepas dia mengumumkan sudah bergelar suami.

Namun, Tajul memilih untuk tidak melayan cubaan itu yang kebanyakannya muncul di ruang mesej peribadi di Instagram.

"Memang ada yang 'mencuba' dengan menghantar mesej-mesej dan sebagainya. Bukan saya saja, bahkan, saya yakin ramai artis lain yang sudah berkahwin pun berdepan situasi sama.

"Bagaimanapun, saya tahu batas saya sebagai suami dan tidak melayan mesej-mesej itu kerana kalau dilayan, ia akan melarat," katanya.

Selepas bergelar bapa, Tajul lebih mementingkan tanggungjawabnya untuk bersama keluarga.

"Selepas bergelar suami dan bapa, banyak yang sudah berubah. Tanggungjawab saya buatkan saya nak ada banyak masa dengan isteri dan anak. Kadang-kadang, kalau berada di luar sampai lewat malam, isteri akan ingatkan supaya pulang awal dan sebagainya," katanya.

Tajul dan Shamieza bernikah pada 10 Disember 2017 dan dikurniakan cahaya mata, Adriana Carissa pada 16 November tahun lalu

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 11:34 AM