ISTERI Izzue Islam dimasukkan hospital akibat benjolan di pergelangan tangan. FOTO Instagram Izzue Islam
ISTERI Izzue Islam dimasukkan hospital akibat benjolan di pergelangan tangan. FOTO Instagram Izzue Islam
Amirul Haswendy Ashari.


ISTERI yang juga pengurus Izzue Islam, Awin Nurin, 36, dimasukkan ke hospital swasta bagi menjalani pembedahan kecil hari ini.

Izzue ketika dihubungi berkata, isterinya mengalami benjolan dikenali Ganglion di pergelangan tangan kiri sejak sebulan lalu.

"Akibat benjolan itu, Awin sering mengadu lenguh tangan sehingga sukar untuk melakukan kerja.

"Selepas dibawa ke hospital, doktor menasihatkan agar menjalani pembedahan kecil bagi membuang benjolan itu," kata Izzue.

Izzue mendakwa, sekiranya benjolan itu dibiarkan ia tidaklah memudaratkan cuma akan menyebabkan Awin akan terus mengalami lenguh tangan saja.

Malah jika dibiarkan ia pecah sendiri, doktor mendedahkan ada kemungkinan benjolan itu akan muncul kembali.

Izzue berkata, jika segala proses pembedahan berjalan lancar dan tiada komplikasi, Awin berkemungkinan dibenarkan keluar dari hospital malam ini atau selewat-lewatnya esok pagi.

"Ikutkan doktor suruh Awin berehat tapi disebabkan jadual sudah disusun atur, kami terpaksa bekerja mulai esok," kata Izzue.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 4:48 PM