AMAN Aziz
AMAN Aziz
Norhayati Nordin


PENYANYI Aman Aziz, 27, mengaku kesal kerana gagal mengekalkan populariti pernah diperolehnya selepas muncul dengan lagu Sulit pada 2017.

Apatah lagi, Aman atau nama sebenar Mohammad Razman Abdul Aziz kemudiannya dilihat seakan 'sepi' dari radar industri hiburan apabila namanya seperti terus tenggelam.

Aman ditemui baru-baru ini, berkata walaupun dia berasa kesal tetapi apa yang berlaku itu baginya satu proses pembelajaran pada masa akan datang.

"Memang saya kesal sangat, namun pada masa sama mungkin tak ada rezeki. Jadi, saya tak boleh terus kecewa dan kenalah berusaha lagi.

"Selama ini pun, bukan tidak agresif dalam perjuangan kerjaya seni saya, tapi didapati kerjasama berpasukan di antara penyanyi dan pihak pengurusan kena seiring," katanya.

Bakal bernaung dengan syarikat pengurusan baharu tidak lama lagi, Aman juga berkata dia agak cerewet dalam pemilihan lagu untuk dirakamkan.

"Bagaimanapun, tahun lalu saya ada hasilkan satu lagu solo baharu berjudul Bukan Lagi. Tetapi, impaknya tidaklah sehebat populariti lagu Sulit.

"Sebenarnya, saya ada sasaran pada setiap lagu dirakamkan. Macam lagu Sulit, memang saya simpan impian untuk ia sampai ke Separuh Akhir Muzik-Muzik dan berjaya.

"Begitu juga dengan lagu lain, saya ada sasaran tersendiri. Jadi, walaupun progres lagu agak perlahan saya okay kerana melihat tetap ada peningkatan," katanya.

Aman yang pernah muncul dengan lagu solo berjudul Without You pada 2014, turut terbabit dalam program hiburan baharu di TV3, Immortal Songs. 

Program hiburan popular diadaptasi dari rancangan realiti TV dari Korea Selatan itu akan mula disiarkan pada 30 Ogos ini, jam 9 malam.

Selain itu, Aman juga baru kehilangan bapa tersayang, Allahyarham Abdul Aziz Abdullah,67, yang meninggal dunia akibat sakit jantung pada 14 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 2:52 PM