AMAN pertaruh single Satu Hari Saat Hujan cetusan idea sendiri bersama Amzar serta Acu.
AMAN pertaruh single Satu Hari Saat Hujan cetusan idea sendiri bersama Amzar serta Acu.
Ridzuan Abdul Rahman


NAIB juara Akademi Fantasia musim ke-11, Aman Aziz, 29, pernah hadir dengan single Without You dan Sulit yang berjaya meletakkan namanya pada kedudukan selesa.

Bagaimanapun, populariti Aman atau nama sebenarnya, Mohammad Razman Abdul Aziz tidak mampu bertahan lama dan dia perlu mencari formula lain untuk terus berada dalam industri muzik.

Aman hadir lagi dengan single rancak berjudul Tunggu Lama dan lagu 'cover' kumpulan Medicine, Tika Dan Saat Ini.

"Syukur usaha ini berjaya. Nama saya kembali jadi sebutan. Tambah gembira apabila lagu Tika Dan Saat Ini menjadi juara carta lagu radio untuk tiga minggu berturut-turut.

"Justeru, tanpa menunggu lama, saya hadir pula mempertaruhkan single terbaharu berjudul Satu Hari Saat Hujan. Lagu berentak balada ini hasil cetusan idea saya sendiri bersama Amzar Razqa dan Acu, manakala lirik pula diilhamkan dengan Acu bersama Hanis Rafi," katanya.

Menurutnya, dia bukan tidak selesa membawakan lagu rancak, tetapi perlu menerima kenyataan genre balada lebih dekat dengan dirinya.

"Secara keseluruhannya, peminat muzik tempatan juga sukakan genre balada. Saya juga akui, kekuatan saya pada lagu balada. Disebabkan itu, saya tidak menoleh ke belakang apabila syarikat pengurusan mengusulkan untuk tampil dengan single balada.

AMAN terima kenyataan genre balada lebih dekat dengan dirinya.
AMAN terima kenyataan genre balada lebih dekat dengan dirinya.

"Memandangkan saya sudah ada sedikit pengalaman di studio, kami duduk bersama untuk menghasilkan Satu Hari Saat Hujan," katanya.

Single edaran New Southern Records (NSR) Malaysia yang dikeluarkan sejak 30 September itu mempunyai kekuatan tersendiri.

"Kekuatan Satu Hari Saat Hujan adalah cerita di sebalik lagu itu sendiri. Setiap manusia yang melalui episod percintaan, pasti pernah berdepan pelbagai ujian dan dugaan.

"Tidak semua percintaan itu berakhir dengan kemanisan. Lagu ini berkisar mengenai kisah pasangan yang melalui episod percintaan, namun berakhir kesedihan apabila mereka tidak dapat bersama. Dari situ, mereka belajar untuk menerima kenyataan, cinta tidak seharusnya memiliki," katanya.

Turut aktif meneroka bidang lakonan dan pengacaraan, Aman berharap lagu itu akan diterima baik peminat.

"Tidak mudah sebenarnya, apatah lagi saya kini bergerak sendiri. Namun, saya lebih selesa dan senang begitu kerana lebih mudah menentukan haluan kerjaya sendiri.

"Setidak-tidaknya, saya temui kepuasan di sebalik kesulitan itu. Bermula dari bawah, saya banyak belajar selok-belok dunia rakaman.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dan berterima kasih kepada Allah SWT kerana berpeluang melalui pengalaman ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 6:48 AM