SHUKRI YAHYA
SHUKRI YAHYA
Sudirman Mohd Tahir


WAJAH 12 juta!

Itu gelaran yang diberikan kepada pelakon Shukri Yahaya, 32, apabila drama 7 Hari Mencintaiku 2 lakonannya yang tamat bersiaran Isnin lalu mencecah 12 juta tontonan sepanjang 33 episod ditayangkan.

Malah, dua lagi drama lakonan Shukri atau nama sebenarnya Mohd Shukri Yahaya sebelum ini turut mencatat jumlah sama iaitu 7 Hari Mencintaiku pada 2016 dan Andainya Takdir 2 (2018).

Shukri yang dihubungi menyifatkan kejayaan itu bukan pada dirinya seorang, tapi juga pelakon lain dan keseluruhan pasukan produksi.

"Untuk jumlah tontonan 12 juta itu, saya berasakan ia rezeki. Bukan pada seorang saja, tapi pelakon lain juga. Kalau tanpa pelakon yang bagus untuk kedua drama iaitu Andainya Takdir dan 7 Hari Mencintaiku yang bagus dan boleh bawa watak masing-masing, takkan ada 12 juta itu.

"Pemilihan pelakon itu sendiri memainkan peranan. Contoh, kalau cerita itu biasa sekali pun, tapi kalau pelakon bagus yang dipilih, Insya-Allah cerita itu akan menjadi luar biasa. Kalau cerita itu bagus macam mana sekali pun, tapi tanpa pemilihan pelakon yang tepat, pun takkan menjadi juga. Jadi, keduanya perlu seimbang," katanya kepada Harian Metro.

Mengenai kejayaan 7 Hari Mencintaiku 2, Shukri berterima kasih kepada penonton yang menyokong drama itu.

"Tak sangka masih lagi menjadi fenomena selepas empat tahun untuk keluar bahagian dua. Rupanya masih ramai lagi peminat drama ini. Terima kasih kepada penonton dan penyokong drama ini. Syukur alhamdulillah dengan jumlah tontonan 12 juta itu," katanya.

Gambar atas 7 Hari Mencintaiku 2 dan bawah 7 Hari Mencintaiku (2016).
Gambar atas 7 Hari Mencintaiku 2 dan bawah 7 Hari Mencintaiku (2016).

Ditanya sejauh mana kesudiannya berlakon jika drama terbitan Siti Rosmizah itu disambung kepada musim ketiga atau diadaptasi ke filem, Shukri bersedia jika skrip dan jalan cerita berbeza.

"Kalau ada, Insya-Allah akan buat. Tapi kena tengok juga skrip harus ada jalan cerita lain. Maknanya bukan konflik sama semata-mata. Nanti penonton pun akan bosan. Kalau skrip lebih bagus, lagi seronok kami pelakon nak buat," katanya.

Selain Shukri, drama arahan Jamal Khan itu turut menampilkan pelakon hebat lain seperti Siti Saleha, Liza Abdullah, Kazar, Jasmin Hamid, Syazwan Zulkifly, Wan Sharmila dan ramai lagi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 1:44 PM