TERAJU utama drama ini, Siti Saleha dan Shukri Yahaya.
TERAJU utama drama ini, Siti Saleha dan Shukri Yahaya.
WAN Sharmila bersama Syazwan.
WAN Sharmila bersama Syazwan.
FAYE Kusairi.
FAYE Kusairi.
LIZA bawa watak Mak Leha.
LIZA bawa watak Mak Leha.
BUNTAT turut hadir.
BUNTAT turut hadir.
ZIELA (kiri) bersama penulis novel 7 Hari Mencintaiku, Siti Rosmizah.
ZIELA (kiri) bersama penulis novel 7 Hari Mencintaiku, Siti Rosmizah.
BARISAN pelakon bersama peminat setia drama 7 Hari Mencintaiku.
BARISAN pelakon bersama peminat setia drama 7 Hari Mencintaiku.
Michelle Gun

Kegilaan penonton terhadap drama bersiri popular 7 Hari Mencintaiku berjaya mengangkat karya terbitan Pena Creative Pictures Sdn Bhd itu sebagai drama paling laris di negara ni.

Penerbitnya, Datuk Ziela Jalil berkata, babak emosi dan lakonan barisan pelakon yang meninggalkan kesan di hati penonton mengumpul jumlah keseluruhan 12 juta tontonan.

“Sukar untuk percaya 7 Hari Mencintaiku berjaya mencapai tontonan tertinggi sehingga mengatasi rekod dipegang Love You Mr Arrogant dan Nur Kasih sebelum ini.

“Saya dimaklumkan bilangan penonton setiap episod konsisten dan episod terakhir mencatatkan lebih lima juta tontonan,” katanya pada Parti Terima Kasih bersama pelakon 7 Hari Mencintaiku di The Curve, Mutiara Damansara, malam kelmarin.

Antara barisan pelakon yang hadir ialah Shukri Yahaya, Siti Saleha, Syazwan Zulkifli, Wan Sharmila, Mohd Arif Abdullah, Liza Abdullah, Jaja Illiyes dan Faye Kusairi.

Turut hadir meraikan kejayaan drama itu peminat serta pemenang peraduan 7 Hari Mencintaiku di media sosial.

Bercerita lanjut mengenai kejayaan drama itu, Ziela berkata, pihaknya tiada perancangan untuk menerbitkan musim kedua mahupun edisi khas sempena Aidilfitri.

“Bagi saya, cerita yang diakhiri dengan kegembiraan usah dipanjangkan lagi. Bagaimanapun, saya merancang untuk membawa kisah drama ini ke pentas teater.

“Kalau boleh, saya mahu mengekalkan barisan pelakon, namun usaha ini masih di peringkat perbincangan,” katanya.

Menurut Ziela, ini kali pertama Pena Creative Pictures bekerjasama dengan penulis novel 7 Hari Mencintaiku, Siti Rosmizah untuk mengangkat kisah itu ke kaca TV.

“Kami pernah bekerjasama sebelum ini namun bukan membabitkan adaptasi novel ilhamnya.

“Selepas ini, kami akan bekerjasama untuk menghasilkan dua lagi drama yang diadaptasikan daripada novel Siti Rosmizah iaitu Lafazkan Kalimah Cintamu dan Curi-Curi Cinta,” katanya.

Ketika diminta memberi komen mengenai pencapaian 7 Hari Mencintaiku, Wan Sharmila berkata, bahagian mencabarkan adalah memastikan lakonan watak Sofi dapat meninggalkan kesan kepada penonton.

“Walaupun Sofi cuma watak sampingan, saya berusaha memberi yang terbaik supaya menampakkan karakter itu hidup. Bukan saja untuk drama ini, saya juga memberi usaha sama untuk watak dalam drama lain,” katanya.

Wan Sharmila turut menganggap dirinya bernasib baik kerana barisan pelakon 7 Hari Mencintaiku semuanya memberi kerjasama dalam menjayakan drama itu.

“Kisah drama ini realistik kerana mengetengahkan suasana kampung selain kejadian di antara menantu dan mentua yang sememangnya berlaku dalam kehidupan sebenar,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Penjenamaan dan Rancangan TV3 dan TV9 Siti Nurlisia Mohd Nadzri berkata, 7 Hari Mencintaiku kini sudah mendahului rekod tontonan beberapa drama popular TV3.

“Sebelum ini, Nur Kasih dan Love You Mr Arrogant mencatatkan rating cemerlang. Drama 7 Hari Mencintaiku menjadi sangat popular kerana berjaya menusuk jiwa penonton menerusi babak mengharukan,” katanya.

Menurutnya, drama itu turut tular di media sosial dan mencetuskan perbualan hangat di Twitter setiap kali bersiaran pada jam 6.58 petang.

“Perbualan mengenai drama ini hangat sehingga ‘trending’ di media sosial dalam negara menerusi kata kunci #7HariMencintaiku,” katanya.

Kata Siti Nurlisia, babak berjaya memberi kesan mendalam terhadap penonton apabila watak Buntat lakonan Mohd Ariff meninggal dunia ketika cuba menyelamatkan Mia daripada diserang Khalil.

“Bukan itu saja, watak Pak Samad lakonan Aman Graseka juga hangat diperkatakan sehingga menjadi kegilaan ramai wanita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 5:05 AM