SITI Saleha suka menjadi Mia Adriana.
SITI Saleha suka menjadi Mia Adriana.
Norhayati Nordin

Jika abangnya Sam Bunkface bersinar dalam bidang muzik, Siti Saleha atau Sally, 32, pula terus cemerlang sebagai pelakon. Malah, tidak lama lagi mungkin dia bergelar pengacara pula.

Justeru, pada Ramadan sehingga Syawal nanti, Sally mempertaruhkan lakonan mantapnya dalam drama musim terbaharu, 7 Hari Mencintaiku 3 sebanyak 35 episod berganding dengan Shukri Yahaya.

Terus serasi sebagai watak Mia Adriana, anak ketiga daripada empat beradik ini mengakui watak berkenaan sedikit sebanyak ada persamaan dengan sifat dalam dirinya.

"Selepas tiga musim melakonkan watak Mia Adriana ini, tak dinafikan memang ada persamaan dengan sikap sebenar diri saya. Kami boleh dikatakan 'sejiwa' kerana mungkin mempunyai pemikiran yang sama.

"Malah, kami juga berkongsi sifat wanita yang tegas dan berpegang pada pendirian diri. Kami tidak cuba menjadi wanita yang 'dominan', tetapi berusaha untuk tidak nampak lemah. Itu yang saya suka dengan watak Mia Adriana," katanya.

Menurut Sally, daripada pengalamannya yang sudah melakonkan pelbagai watak wanita dalam drama dibintangi, watak Mia Adriana begitu istimewa.

SITI Saleha sentiasa teruja lakon watak begitu istimewa baginya dalam drama 7 Hari Mencintaiku 3.
SITI Saleha sentiasa teruja lakon watak begitu istimewa baginya dalam drama 7 Hari Mencintaiku 3.

Katanya, dia sentiasa teruja ketika melakonkan watak itu.

"Walaupun ada kebimbangan juga terhadap penerimaan penonton untuk watak ini kerana sudah musim ketiga melakonkannya, namun saya tetap percaya masih ada kelainan yang dipaparkan nanti.

"Bagaimana perjalanan watak Mia Adriana kali ini, penonton kena tengok kerana dia lebih matang dan tenang berbanding dalam dua musim yang lalu. Saya yakin penonton menyukainya kerana jalan cerita kali ini juga tiada dalam novel," katanya.

Ditanya kerjasama dengan semua pelakon, Sally berkata, ia boleh dianggap mudah kerana masih mengekalkan pelakon sama.

Katanya, mudah bagi mereka membentuk 'chemistry' kerana sudah memahami jalan cerita sejak awal.

"Saya sebenarnya sangat merindukan pasukan kerja untuk drama ini kerana kami semua umpama satu keluarga besar. Masing-masing sudah kenal dengan rapat dan amat positif membuatkan setiap hari terus bersemangat ke lokasi penggambaran.

"Kami bekerja dalam suasana yang 'happy' dan ada masanya mampu bertoleransi jika antara kami ada urusan tidak boleh dielak. Jadi, bekerja di set penggambaran drama 7 Hari Mencintaiku 3 ini akan saya rindui," katanya.

Mengulas sama ada dia pernah tidak sependapat dengan Shukri yang menjadi hero drama itu, Sally berkata, mereka sentiasa okey dan selesa berbincang.

Katanya, dia suka berlakon dengan Shukri kerana mereka saling membantu untuk watak masing-masing.

"Shuk adalah Khuzairi yang begitu memahami Mia Adriana. Saya gembira kami masih dapat berganding bersama lagi untuk musim kali ini. Malah, saya sendiri bertanya kepada penerbit terlebih dulu siapa barisan pelakon untuk musim ketiga ini.

JALAN cerita drama 7 Hari Mencintaiku 3, bagi Siti Saleha Menarik.
JALAN cerita drama 7 Hari Mencintaiku 3, bagi Siti Saleha Menarik.

"Apabila saya diberitahu, masih mengekalkan barisan pelakon sama, ia wajar untuk diterima. Bagi saya penting mendapatkan barisan pelakon yang mantap kerana kami sudah tahu bagaimana perjalanan kisah ini," katanya.

Sally yang ditemui pada sesi sidang media virtual drama 7 Hari Mencintaiku 3, baru-baru ini juga memaklumkan agak berat perasaan dirasainya pada hari terakhir penggambaran dan macam-macam emosi dirasa.

Drama arahan Jamal Khan dan skrip oleh Siti Rosmizah Semail ini menemui penonton di slot Akasia TV3 sejak 16 April lalu, jam 7 malam.

Selain Sally dan Shukri, barisan pelakon lain ialah Liza Abdullah sebagai Mak Leha, Kazar Saisi (Pak Samad), Wafariena Roslan (Nurul Ain), Wan Sharmila (Sofi Amylia), Syazwan Zulkifly (Helmi), Jaja Iliyes (Nadia), Bil Azali (Zaidi) dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 6:23 AM