FASHA berkongsi cerita gembira di akaun Instagram.
FASHA berkongsi cerita gembira di akaun Instagram.
Georgie Joseph


“It’s a GIRL (Dia bayi perempuan). Syukur Alhamdulillah,” tulis pelakon Fasha Sandha yang berkongsi berita jantina kandungannya menerusi Instagram hari ini.

Fasha, 35, mengakui dia mulanya berasa ragu untuk berkongsi berita gembira itu, namun memutuskan akhirnya berbuat demikian dengan harapan pasangan lain tidak berputus-asa mendapatkan zuriat.

“Saya dan suami (Aidil Aziz) pernah diuji sebelum ini kerana dua kali keguguran di awal kehamilan. Syukur Alhamdullilah tak lama lepas itu, Allah gantikan dengan kandungan yang sihat.

“Saya juga pernah hampir berputus asa, tapi semangat daripada rakan dan suami memberikan saya kekuatan untuk berjumpa doktor. Kehamilan di usia 35 bukanlah sesuatu yang mudah.

“Paling teruk alahannya, lemah, melepet, kena cucuk setiap minggu, makan ubat kuat rahim tiga kali sehari, sampai ada hari kena marah dengan suami dan doktor sebab mengelat nak makan ubat,” kongsinya.

Fasha juga bersyukur kehamilannya kali ini dipermudahkan dan lancar serta mengakui seluruh keluarga sangat gembira dengan berita berkenaan.

“Alhamdulillah kini di trimester kedua (15 minggu), kandungan membesar dengan sihat. Sehingga hari ini, di atas pengalaman keguguran yang lalu, saya hanya tawakal dan reda, semoga kandungan ini sihat sehingga melahirkan nanti inshaAllah.

“Hari itu selepas mendapat keputusan kandungan sihat dan jantina bayi, saya terus buat kejutan kepada keluarga. Allahuakbar melompat kegembiraan suami, Rayfal, dan Jemyma kerana bakal menerima seorang lagi ‘girl’ dalam keluarga kami,” katanya.

Tahun lalu, Fasha pernah berkongsi kegembiraan apabila menyedari dirinya hamil tiga minggu, namun tidak lama kemudian keguguran.

Sekali lagi, pada November lalu Fasha dikhabarkan hamil. Bagaimanapun, dia yang ditemui pada sebuah acara tidak mengesah atau menafikan perkara itu.

Menerusi perkahwinan pertamanya, Fasha dikurniakan dua anak, Putra Rayfal Ramli, 7, dan Putri Raysha Jemyma, 5.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 6:37 PM