PRETTY Little Liars versi Asia papar nilai ketimuran.
PRETTY Little Liars versi Asia papar nilai ketimuran.
Georgie Joseph

SIRI Pretty Little Liars versi Asia yang mula ditayangkan di platform penstriman Viu sejak April lalu sememangnya penuh drama.

Diadaptasi daripada siri popular dari Amerika Syarikat (AS) dengan judul sama, nampaknya hasil arahan Emil Heradi itu cukup menyakinkan.

Semestinya buat pengikut drama asal, mereka akan membandingkan kedua-dua versi terbabit.

Bagaimanapun, menurut Emil, perbandingan itu akan terlupus sebaik melihat olahan semula dalam versi penuh ketimuran berkenaan.

Pengarah itu tidak menafikan ada perasaan bimbang juga sekiranya wujud perbandingan dengan versi AS terbabit.

Namun, dia lega apabila dapat menyuntik elemen yang lebih segar dan bertepatan dengan norma hidup di rantau ini.

"Ya, itu sememangnya antara cabaran apatah lagi versi AS sudah menjadi penanda aras buat peminat setia siri berkenaan. Saya percaya dengan sentuhan saya dengan mengambil kira norma ketimuran kita.

"Boleh dikatakan, versi Asia ini memang lebih segar dan sesuai dengan situasi dihadapi dalam kehidupan remaja ketika ini. Suntikan elemen yang lebih relevan itulah menjadi kekuatan kepada olahan saya.

"Corak hidup kita di sini pun berbeza dengan di barat. Dengan menggambarkan nilai ketimuran kita, saya rasa penonton di sana pasti lebih dekat dengan mesej yang cuba disampaikan," katanya.

EYKA akui  senang cipta keserasian dengan pelakon utama lain.
EYKA akui senang cipta keserasian dengan pelakon utama lain.

Bercerita lanjut, Emil mengakui sangat gembira apabila penggambaran dan keseluruhan kerja produksi lancar.

Menurutnya, dia bertuah apabila diberikan barisan pelakon yang sememangnya cukup menyenangkan.

"Siri ini menjalani pengambaran sepenuhnya di Bali, Indonesia dengan barisan pelakon yang cemerlang dan kru terkemuka. Mereka memberi tumpuan sepenuhnya untuk mempamerkan nilai premium sinematik Asia kepada dunia.

"Watak-watak dan penceritaan yang ditonjolkan sesuai dengan budaya penduduk tempatan, serta plot dari siri asal yang sememangnya menarik bahkan diubah dengan gaya tersendiri untuk Viu.

"Paling saya kagum semestinya barisan pelakon muda yang mengejutkan dari segi penghayatan watak. Walaupun rata-ratanya remaja, mereka memberikan lakonan berkesan yang bagi saya sangat luar biasa," katanya.

Menjadi satu-satunya pelakon dari Malaysia, Eyka Farhana pula menyifatkan peluang keemasan itu sangat bermakna secara peribadi. Mana tidak, laluan untuk menembusi pasaran Indonesia buatnya sudah terbuka luas.

Berkongsi pengalaman sewaktu penggambaran, Eyka mengakui sangat senang mencipta keserasian dengan pelakon utama lain.

Walaupun canggung berbahasa Indonesia pada awalnya, dia mendapat tunjuk ajar berterusan daripada setiap orang.

"Sesungguhnya ini adalah peluang yang saya nanti-nantikan selama ini untuk dapat berlakon di Indonesia. Bukan sahaja jenama siri itu sendiri sangat besar, bahkan secara rasmi itulah pertama kali saya bekerja dengan produksi mereka.

"Disebabkan itu, saya tidak mensia-siakan peluang diberi dan melakukan persiapan sebaiknya demi menjayakan watak saya. Mujur, mereka tidak henti memberi pertolongan untuk saya menguasai bahasa Indonesia," katanya.

Pretty Little Liars mengambil latar belakang di Amerta, Bali sebagai lokasi utama. Ia berkisar kehidupan empat orang pelajar perempuan yang akrab namun kehidupan mereka mula terganggu apabila ketua mereka, Alissa (Yuki Kato), hilang secara misteri.

Setahun kemudian, Hanna (Anya Geraldine), Ema (Eyka Farhana), Sabrina (Valerie Thomas) dan Aira (Shindy Huang) bersatu kembali apabila mereka mula menerima satu mesej daripada individu misteri yang dikenali sebagai 'A', yang mengugut untuk mendedahkan rahsia gelap mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 7:05 AM