Mula jalani latihan khas di gimnasium  kerana sukakan karakter dengan banyak babak aksi. - FOTO Amiruddin Sahib
Mula jalani latihan khas di gimnasium kerana sukakan karakter dengan banyak babak aksi. - FOTO Amiruddin Sahib
Ridzuan Abdul Rahman


IMPIAN pelakon Mierul Aiman untuk membawakan watak aksi lasak yang menuntut komitmen penuh dalam lakonan kini menjadi kenyataan.

Mierul atau Mohammad Amirul Aiman Norazman, 25, yang menyerlah menerusi drama popular Project High Council, kini rancak membintangi drama bersiri W: Two Worlds yang diadaptasi dari drama popular Korea.

Siri Viu Original W: Two Worlds arahan Datuk Yusry Abd Halim turut dibintangi Faizal Hussein, Daiyan Trisha, Tony Eusoff, Hun Haqeem dan Elizabeth Tan bakal ditayangkan di platform Viu pada hujung November depan.

Mierul melakonkan watak pengawal peribadi bernama Ghazi dan akuinya watak ini sudah lama diimpikannya.

"Saya minat filem aksi selepas menonton filem Apocalypto. Ketika itu saya masih kanak-kanak. Sejak itu saya rasa nak berlakon watak aksi untuk serlahkan bakat saya.

"Apabila dapat saja drama ini dan pergi ke uji bakat, saya terus jatuh cinta. Dah lama saya teringin nak berlakon watak begini. Untuk berlakon genre begini sememangnya menuntut persediaan dari aspek fizikal.

"Syukur produksi Viu bagi ruang kepada pelakon untuk berlatih. Kami berlatih guna semua jenis senjata dan aspek koreografi babak aksi awal-awal sebelum masuk set penggambaran," katanya.

Menurutnya, apabila berada di set, mindanya sudah kuat dan tinggal hanya untuk melepaskan pada lakonan sahaja.

"Saya dah buat semua latihan aksi. Setakat ini alhamdulillah saya buat babak aksi sendiri. Kita ada tenaga, kudrat dan nilainya tinggi kalau buat sendiri. Ia juga untuk tengok sejauh mana kemampuan saya.

"Saya dapat peluang keemasan dari Viu dan saya nak tertinggal, apa lagi kalau lepaskan peluang. Pelakon yang berlakon hebat semuanya.

"Saya baru beberapa tahun dalam industri dan mereka sambut kehadiran saya dengan baik," katanya gembira dengan pengalaman yang dilalui.

Demi karakter Ghazi juga, Mierul menjalani latihan khas di gimnasium.

MIERUL gembira impian bawa watak aksi kesampaian. - FOTO Amiruddin Sahib
MIERUL gembira impian bawa watak aksi kesampaian. - FOTO Amiruddin Sahib

"Tapi, tidak sampai buat otot jadi besar. Saya pergi ke gim dan adakalanya sertai latihan tinju. Semua latihan fizikal yang saya buat sekarang adalah untuk karakter ini.

"Yang penting kena kekalkan stamina dan amalkan senaman kardio. Sasaran saya untuk dapat fizikal seorang pengawal peribadi," katanya di set penggambaran drama terbabit, baru-baru ini.

Ghazi ditugaskan sebagai pengawal peribadi kepada Aliff (lakonan Hun Haqeem).

Baginya, Ghazi seorang yang serius sebagai pengawal peribadi, tetapi mempunyai sisi menarik apabila bersama majikannya, Aziz.

"Interaksi kami berdua sangat berbeza dibandingkan dengan watak lain. Kalau nak transform kepada versi Malaysia perlukan kerja yang lebih banyak.

"Ia merangkumi gerak badan kita, cara berbual dan cara interaksi kita antara lelaki dengan lelaki. Seorang pejuang yang diambil oleh Aliff untuk jaga dia.

"Untuk versi Malaysia kita rasa tak boleh nak buat konsep seperti versi asal. Sebab cara berguraunya kasar. Jadi, kita bangunkan benda-benda yang baharu," katanya.

Dia juga menonton cerita asal W: Two Worlds kerana ingin tahu mood dan tone cerita ini.

"Saya perlu tahu macam mana rentak drama ini. Tapi, saya tak boleh ambil sepenuhnya kerana kita adaptasi dari drama Korea.

"Banyak juga yang berubah dari cerita asal. Cabaran terbesar saya ialah nak transform epik Korea kepada epik Malaysia.

"Nak seimbangkan aksi, komedi dan percintaan. Sebab kita merangkumi banyak aspek dalam cerita ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 6:00 AM