SHARIFAH Amani. FOTO Mahzir Mat Isa
SHARIFAH Amani. FOTO Mahzir Mat Isa
Ramlah Zainal


PELAKON berkaliber Sharifah Amani, 33, menganggap tawaran berlakon dalam siri Kopitiam: Double Shot memenuhi impiannya sejak kecil kerana dia membesar dengan sitkom Kopitiam itu yang ditayangkan pada 1998 hingga 2003.

Sharifah yang mesra disapa Nani melakonkan watak Alia iaitu wanita muda yang sangat berdikari serta mahu memperbaharui Kopitiam.

“Jika dulu orang mengejek apabila saya bercakap dalam bahasa Inggeris. Sekarang, saya sangat bangga apabila ditawarkan berlakon dalam versi baru Kopitiam: Double Shot yang kembali dengan jalan cerita baharu, lebih segar serta dilakonkan dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Nani berkata, dia tiada masalah untuk mendapatkan keserasian dengan pelakon lama sitkom ini seperti Douglas Lim dan Rashid Salleh kerana sudah mengenali mereka sejak terbabit dalam kumpulan teater.

“Saya juga sudah anggap mereka seperti abang dan kami rapat seperti keluarga besar,” katanya.

Ditanya mengenai kerjasama dengan pengarah Imri Nasution, Nani berkata, itu pertama kali mereka bekerjasama.

“Mungkin kami tak pernah lepak, tetapi Imri adalah pengarah yang cintakan ilmu dan filem. Kami memang ‘sekepala’ apabila bercakap mengenai industri filem. Dia juga tegas dalam perjuangannya untuk memartabatkan industri lakonan tempatan,” katanya.

Bercerita mengenai cabaran, Nani berkata, dia perlu menyeimbangkan emosi kerana sitkom tidak sama seperti drama.

NANI bersama pelakon Kopitiam: Double Shot, Harvinth (duduk kiri), Charles (duduk kanan), Douglas (berdiri dari kiri), Melissa dan Rashid. FOTO Mahzir Mat Isa
NANI bersama pelakon Kopitiam: Double Shot, Harvinth (duduk kiri), Charles (duduk kanan), Douglas (berdiri dari kiri), Melissa dan Rashid. FOTO Mahzir Mat Isa

“Maklumlah saya sudah lama tidak berlakon dalam projek drama bersiri dan kali terakhir ialah Cinta 100kg. Saya juga melakonkan watak wanita berusia lebih 20 tahun dan jauh dari usia sebenar.

“Saya juga perlu menyesuaikan diri untuk buat penonton terhibur kerana bukan mudah untuk buat orang ketawa berbanding menangis,” katanya.

Tampil muka baru

Siri Kopitiam: Double Shot juga menampilkan barisan muka baru untuk memantapkan lagi naskhahnya.

Selain Nani, muka baru ditampilkan ialah Melissa Campbell (watak Seleb) Harvinth Skin (Tim) dan Charles Roberts (Baboo).

Menurut Nani, dia berharap penampilan muka baru dapat mewarnai, sekali gus memberi kelainan pada sitkom terbabit.

“Apabila saya memuat naik gambar ketika di lokasi penggambaran sitkom ini di Instagram, ramai yang beri maklum balas positif. Justeru, saya berharap muka baru yang ditampilkan akan dapat menarik peminat baru untuk menonton sitkom ini,” katanya.

Menurut Nani, dia juga menghadiri proses uji bakat sebelum ditawarkan berlakon dalam sitkom itu.

“Walaupun sudah menang anugerah, saya tidak kisah untuk hadir ke uji bakat kerana ia akan menentukan sama ada watak itu sesuai atau tidak untuk dilakonkan.

“Jika ada yang bertanya sama ada sitkom Kopitiam masih relevan atau tidak, saya serahkan kepada penonton untuk menilainya. Sebagai pelakon, saya hanya menjanjikan yang terbaik buat penonton,” katanya.

Kopitiam: Double Shot mula bersiaran secara eksklusif di Viu, peneraju perkhidmatan penstriman serantau dengan 36 juta pengguna aktif bulanan bermula hari ini.

Penonton boleh menonton siri ini menerusi aplikasi Viu yang boleh dimuat turun secara percuma di App Store atau Google Play Store.

Siri Kopitiam juga memaparkan kisah lucu dan mencuit hati mengenai persahabatan, masyarakat dan keluarga dengan latar belakang masyarakat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 8:12 AM