BAPA Jaa, Allahyarham Ahmad Mohd Salleh meninggal dunia jam 9.26 pagi semalam.
BAPA Jaa, Allahyarham Ahmad Mohd Salleh meninggal dunia jam 9.26 pagi semalam.
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon Jaa Suzuran dan ahli keluarganya dikejutkan dengan pemergian bapa tersayang, Allahyarham Ahmad Mohd Salleh, 63, pada jam 9.26 pagi semalam, kerana arwah tidak pernah mengalami sebarang penyakit kronik sebelum ini.

Jaa, 30, berkata, arwah bapanya bagaimanapun dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II sejak Selasa lalu akibat mengalami kegagalan organ dalaman pada jantung dan buah pinggangnya.

"Arwah ayah memang susah nak pergi hospital, dia lebih memilih ke klinik saja. Tapi, pada Selasa lalu ketika abang saya hubungi dan maklumkan keadaan kesihatan ayah agak teruk dan saya memujuknya untuk ke hospital bagi rawatan lanjut.

"Ketika doktor membuat pemeriksaan dan maklumkan ayah mengalami kegagalan organ dalaman pada jantung dan buah pinggangnya, kami sekeluarga agak terkejut kerana arwah selama ini tidak pernah menunjukkan sebarang tanda atau mengadu sakit teruk.

"Namun, apabila ayah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada Jumaat lalu, tahap kesihatannya mula merosot dan doktor meminta seluruh ahli keluarga untuk berkumpul serta buat bacaan Yaasin secara bergilir dan mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah.  

"Jadi kami sekeluarga 'berkampung' di hospital bermula Jumaat malam sehingga arwah meninggal dunia pagi semalam," katanya kepada Harian Metro.

Jaa yang sudah berada di Kota Bharu, Kelantan sejak hari pertama arwah bapanya dimasukkan ke hospital itu berkata, Allahyarham ada menunjukkan tanda yang dia akan pergi buat selamanya. 

"Sebelum arwah dimasukkan ke hospital, adik-beradik beritahu arwah selalu cakap dia nak rehat. Tak sangka ayat itu memberi maksud yang cukup mendalam. 

"Kami sekeluarga terutama ibu saya reda dengan pemergian arwah ayah. Urusan pengebumian arwah pun berjalan dengan sangat mudah dan lancar.

"Sebagai anak, sudah tentu saya akan merindui momen kami bergurau memandangkan kami berdua 'satu kepala'," katanya. 

Semalam, Jaa memaklumkan bapanya meninggal dunia menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 4:17 PM