GAMBAR terakhir arwah (dua kanan) bersama keluarga dan sanak saudara pada Hari Raya Aidilfitri lalu. FOTO Zaid Salim
GAMBAR terakhir arwah (dua kanan) bersama keluarga dan sanak saudara pada Hari Raya Aidilfitri lalu. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim

Kemaman: "Arwah ayah ada mencipta beberapa lagu baru termasuk untuk diberikan kepada anak saudaranya, namun hasrat arwah untuk dengar sepenuhnya lagu berkenaan tidak kesampaian apabila dia pergi buat selama-lamanya awal pagi tadi," kata Che Wan Nuradli Che Wan Zulkifli, 31, anak komposer terkenal Wan Zul yang meninggal dunia di Hospital Kemaman, di sini, jam 2.33 pagi hari ini.

Katanya, sepanjang hayat, arwah bapanya disifatkan sebagai bapa yang sangat baik dan mengambil berat terhadap keluarga.

Menurutnya, kasih sayang yang diberikan bapa menyebabkan pemergian lelaki itu sangat dirasai keluarga.

"Ayah seorang yang sangat ambil berat dan penuh kasih sayang terhadap keluarga. Hubungan ayah dengan saya bagaikan sahabat dan pemergiannya sangat dirasai," katanya ketika ditemui di rumah kakaknya Che Wan Norsyikin, 33, di Kampung Baru, Kijal, di sini, hari ini.

Menceritakan saat pemergiannya bapanya, Che Wan Nuradli yang juga anak bongsu daripada dua beradik berkata, selepas sedar sejak dimasukkan ke hospital pada Ahad minggu lalu, bapanya dipindahkan ke wad biasa dan keadaannya stabil dan boleh bercakap serta bergurau.

Namun, pada petang Ahad lalu, dia kembali ditidurkan selepas keadaannya kembali tidak stabil sebelum menghembuskan nafas terakhir.

"Saya bersyukur kerana saya bersama kakak dan emak, ada di sisi arwah ketika dia menghembuskan nafas terakhir," katanya.

Sementara itu, anak saudara Allahyarham, Che Wan Nurfatin Aqila Che Wan Zuhaini, 23, berkata, dia terkilan apabila hasrat Wan Zul yang dipanggil Ayah Long untuk menyiapkan lagu untuknya tidak kesampaian.

"Walaupun hanya separuh saja lagu berkenaan siap, ia adalah harta peninggalan arwah yang sangat bermakna buat saya," katanya.

Selain keluarga, saudara mara dan rakan, turut memberi penghormatan terakhir buat jenazah Wan Zul adalah pemain drum kumpulan Iklim, Kamaruddin Ibrahim, 58.

Kamal menyifatkan pemergian Allahyarham satu kehilangan besar kepada industri muzik tanah air.

"Arwah seorang komposer yang sangat baik dan tegas ketika bekerja. Sebagai Individu yang bertanggungjawab menaikkan nama Iklim, pemergiannya sangat dirasai," katanya.

Allahyarham Wan Zul atau nama sebenarnya Che Wan Zulkifli Che Wan Abdul Ghani, 61, yang dilapor kritikal sejak beberapa hari lalu meninggal dunia di Hospital Kemaman, pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 2:53 PM