KAMAL Bakar
KAMAL Bakar

Kuala Lumpur: Pelakon, Kamal Bakar, 62, yang menghidap kanser paru-paru tahap empat disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1 pagi di Hospital Besar Melaka, hari ini. 

Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan  anaknya yang juga pelakon, Muhammad Hanis Kamaruldzaman di Facebook .

"Assalamualaikum semua, dimaklumkan ayah saya Kamaruldzaman Bakar (Kamal Bakar) sudah meninggal dunia sebentar tadi.

"Mohon jasa baik semua untuk sedekahkan Al-Fatihah buat ayah saya," tulisnya.

Dalam masa sama, Hanis memaklumkan jenazah Allahyarham  akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Baru, Melaka, pagi ini.

"Jenazah akan di bawa pulang ke rumah terlebih dahulu dan pada jam 11.30 pagi  jenazah akan di bawa ke Masjid Bukit Baru Melaka untuk urusan mandi dan kafan. 

"Solat jenazah akan diadakan selepas solat Zuhur dan kemudian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Baru Melaka," katanya.

Sabtu lalu, Hanis memaklumkan bapanya dalam keadaan nazak dan keluarga diminta bersedia dengan sebarang kemungkinan.

Pada 3 Jun lalu, Kamal dikejarkan ke Hospital Melaka dan dua minggu kemudian dimasukkan ke Unit Kecemasan (ICU) selepas disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat.

Kamal memulakan kerjaya seni sejak 1970-an menerusi beberapa drama seperti Suami Aku Ustaz, Andai Itu Takdirnya, Orang Minyak dan banyak lagi.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dikenali Sarina dan lima anak.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 7:16 AM