Hanis (kiri) gambar kanan Kamal Bakar dirawat di hospital
Hanis (kiri) gambar kanan Kamal Bakar dirawat di hospital
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Doktor masih menyiasat punca masalah paru-paru pelakon veteran Kamal Bakar, 62, yang ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Melaka.

Anaknya, Hanis Kamaruldzaman, 35, berkata bapanya ditidurkan sejak kelmarin selepas berdepan sesak nafas dan kemudian tahap oksigennya menurun.

"Ayah saya sekarang masih ditidurkan sejak malam Isnin kelmarin. Pihak hospital sedang sedaya upaya mengesan masalah paru-paru yang dialami itu adakah disebabkan kanser yang dihidapi atau jangkitan kuman.

"Dia ditidurkan kerana oksigen menurun. Dia mulanya sesak nafas sewaktu di rumah. Pada petang Isnin itu dia sudah nampak lain, bila panggil namanya, dia diam sahaja dan tidak menyahut. Tetapi mulut bergerak macam sedang berzikir," katanya.

Hanis berkata mereka terpaksa panggil ambulans dan dari situlah doktor mengesan tahap oksigennya menurun. Doktor putuskan untuk menidurkan bapa selepas dia meracau kerana tak cukup oksigen.

"Doktor memberitahu, pada satu tahap ayah macam sudah meracau. Maknanya bantuan pernafasan yang diberikan tidak cukup, oksigen yang diterima tidak cukup. Pihak hospital ambil keputusan untuk tidurkan ayah," katanya.

Hanis turut memaklumkan masalah paru-paru dihidapi bapanya mula dikesan sejak Mac lalu.

Selain kerap batuk sehingga diminta menjalani pemeriksaan kesihatan penuh dan disahkan menghidap kanser paru-paru.

"Ayah sakit sebelum bulan puasa. Kami satu keluarga menganggap puncanya bermula daripada batuk. Tetapi dia susah sangat nak pergi hospital. Bila batuk hanya beli ubat di farmasi, sehingga masalah batuk itu berlanjutan selama dua bulan.

"Sampai satu tahap, saya paksa dia pergi klinik. Doktor kata sudah ada jangkitan kuman pada paru-paru disebabkan batuk terlalu lama. Kemudian bawa ke hospital dan dapatkan ubat.

"Mak saya minta ayah buat pemeriksaan penuh untuk kesan apa sebenarnya sakit dia. Selepas dibuat, terdapat kesan ketumbuhan di bahagian dada dan usus. Tetapi doktor sahkan ada kanser di dada selepas ambil sampel," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2024 @ 2:00 PM