SYA dedikasi lagu PrettyGirlBop bangun semangat wanita kala pandemik.
SYA dedikasi lagu PrettyGirlBop bangun semangat wanita kala pandemik.
Georgie Joseph


TUAH penyanyi rap baharu dikenali, SYA, 23, seakan datang bergolek-golek.

Mana tidaknya, lagu pengenalannya berjudul PrettyGirlBop mendapat sentuhan penyanyi dan penerbit terkenal iaitu SonaOne yang tidak asing bagi khalayak penggemar muzik hip-hop, mahupun peminat industri hiburan tanah air.

Seakan bulan jatuh ke riba, asalnya karya itu dicipta untuk SYA saja, kemudian turut digandingkan dengan bintang rap popular dari Singapura, Yung Raja. Sekali gus, mengangkat lagi lagu itu ke tahap tersendiri.

SYA mengaku gementar meskipun pada masa sama amat teruja apabila diberikan peluang berganding bersama dua nama besar hip-hop Asia Tenggara itu.

Tanpa berselindung, dia mengakui hasrat bekerjasama dengan dua figura hebat itu sudah dipendam lama.

"Proses pembikinan lagu PrettyGirlBop ini berlaku cukup pantas. SonaOne mencipta irama dan melodi dalam masa hanya 15 minit. Sebaik saya terima irama berkenaan, saya terus karang liriknya secara spontan.

"Menariknya, pada ketika kami asyik mencari ilham dan proses penstrukturan rangkap dalam lagu itu, kebetulan Yung Raja membuat panggilan video kepada SonaOne. Secara tidak langsung, memberi tambahan idea dalam pembikinan lagu pertama saya ini.

"Ketika itu, kami mencari apakah cangkuk mengancam untuk lagu ini dan Yung Raja kongsi formulanya. Apabila dia bersetuju untuk turut serta, sememangnya hati saya menari riang disebabkan ia bagai mimpi jadi kenyataan," katanya.

PrettyGirlBop adalah lagu dedikasi untuk memperkasakan semangat kaum hawa ketika pandemik, termasuk golongan ibu sebagai sumber inspirasi.

Menurut SYA, ibunya sendiri adalah sumber inspirasi dan susuk penting yang banyak memberi galakan dia berkarya.

"Seluruh negara berada dalam keadaan sukar ketika pandemik melanda, lebih-lebih lagi wanita berdikari yang berusaha sekuatnya demi kelangsungan hidup seharian. Ketika lagu ini ditulis, saya meletakkan keseluruhan emosi dan jiwa di kemuncak.

"Saya cuba mengubah pemahaman stereotaip 'pretty girl' yang bermaksud gadis ayu. Tetapi, menerusi lagu PrettyGirlBop saya memberi sindiran sinis dalam bait liriknya untuk menyatakan bahawa saya juga ada sisi garang dan tegas," katanya.

Pada mulanya, SYA hanya menjadikan muzik sebagai ruang terapi buat dirinya.

Bagaimanapun, pengaruh muzik berjaya memberi impak yang luar biasa. SYA mula mengatur langkah untuk dikenali sebagai watak penting membangunkan semangat wanita pada hari ini.

"Saya mengambil tanggungjawab untuk memberi inspirasi buat wanita tidak kira apa bidang sekalipun mereka ceburi. Mereka perlu terus bangkit dan cekal mengharungi segala rintangan dalam kehidupan.

"Dek kerana motivasi itu, saya akan memastikan sebagai penyanyi rap wanita, saya akan terus berusaha dan kekal relevan. Saya mahu setanding penyanyi rap lain yang didominasi lelaki pada masa kini, mudah-mudahan," katanya.

Minat gadis manis ini terhadap muzik amat mendalam. Kebanyakan masanya diisi dengan menzahirkan bait-bait puisi pada melodi menerusi ilham penulisannya. Tidak kira latar belakang muzik baik pop, R&B, hip-hop atau soul.

SYA mengambil beberapa nama legenda rap seperti Jay Z, Tupac Shakur dan Kendrick Lamar sebagai pengaruh persembahan.

"Dari segi melodi, saya tidak meletakkan secara spesifik siapa yang paling diminati untuk membentuk identiti saya. Buat masa sekarang, saya sukakan melodi Ty Dolla $ign dan cukup gemar karyanya.

"Saya juga sukakan visi Kanye West sebagai mogul Hip-Hop yang sudah membawa genre ini jauh ke hadapan," katanya yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman Def Jam Asia Tenggara.

SYA turut menyatakan, minatnya mula berputik pada dunia seni hiburan sejak mendengarkan lagu daripada ikon pop Amerika Syarikat seperti Britney Spears ketika zaman kanak-kanak lagi.

"Sudah pasti bintang rap wanita seperti Nicki Minaj, Cardi B, Saweetie dan Doja Cat juga saya minati. Namun sebagai artis versatil, saya mahu tampil dengan gaya sendiri yang sesuatu di luar jangkaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 6:46 AM