ZUL HUZAIMY (duduk empat dari kanan) bersama barisan pelakon pada sidang media pementasan teater Gemilang Sebuah Muzikal. FOTO Aswadi Alias
ZUL HUZAIMY (duduk empat dari kanan) bersama barisan pelakon pada sidang media pementasan teater Gemilang Sebuah Muzikal. FOTO Aswadi Alias
Rudy Imran Shamsudin


ALUMNI Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang dijenamakan dengan nama Persatuan Alumni ASWARA (Beringin), bercadang menjadi sebuah badan yang membolehkan aktiviti pengumpulan dana dan kebajikan dapat dilaksanakan.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Beringin Zul Huzaimy Marzuki yang juga seorang pelakon dan pengarah terkenal. Idea terbabit sudah difikirkan sebaik saja dia diamanahkan menerajui Alumni ASWARA pada November 2018.

Kata Zul yang ditemui sewaktu sidang media teater Gemilang Sebuah Muzikal anjuran ASWARA bagi meraikan 25 tahun penubuhannya yang memberi tumpuan kepada bidang seni sepenuhnya itu, sebagai sebuah badan berkanun, ASWARA sendiri tidak boleh melakukan sebarang aktiviti mendatangkan keuntungan tetapi alumni dibenarkan.

“Perkara ini saya ketengahkan dan ia sedang dirancang. Tambahan pula hasil kutipan drama Teater Gemilang Sebuah Muzikal sebahagiannya akan dimasukkan ke dalam dana Beringin bagi membolehkan bantuan dapat disalurkan kepada bekas pelajar mahupun pelajar yang memerlukan,” katanya.

Katanya, pihaknya tidak mempunyai masalah bagi menjana dana kerana bekas penuntut mempunyai kemahiran untuk melakukan beberapa aktiviti yang boleh dijadikan sumber kewangan.

“Antara perkara pertama kami mahu lakukan adalah menubuhkan sebuah produksi yang boleh melakukan kerja penerbitan.

“Kami mempunyai tenaga kerja lengkap untuk melaksanakannya dan ia bukan satu masalah.

“Saya sendiri pernah melakukan perkara sama dengan persatuan lain yang diterajui sebelum ini. Jadi saya berasakan ia boleh juga dilakukan atas nama Beringin,” katanya.

Bagi merangka strategi untuk menggerakkan pengumpulan dana menerusi produksi mahu ditubuhkan, katanya, dia sudah pun memperoleh model daripada beberapa syarikat yang bertindak sebagai pelabur.

“Bagaimanapun disebabkan penubuhan produksi ini lebih kepada untuk mengisi tabung dana, perkongsian keuntungan diperoleh syarikat terbabit tidak besar dan ia sudah dipersetujui,” katanya.

Zul Huzaimy juga menggesa bekas pelajar ASWARA untuk turut bersama membantu usaha murni yang dilakukan ahli jawatankuasa Beringin dengan beramai-ramai hadir memeriahkan dan menyaksikan pementasan Gemilang Sebuah Muzikal yang akan mula dipentaskan pada 13 hingga 15 Disember ini di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 7:54 PM