Zul Huzaimy. FOTO Saifullizan Tamadi
Zul Huzaimy. FOTO Saifullizan Tamadi
Najiy Jefri


PELAKON dan pengarah Zul Huzaimy  menganggap pelantikannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) berkuat kuasa 1 Mei lalu adalah satu penghormatan daripada institusi pengajian tinggi itu.

Zul yang juga Presiden Alumni Aswara berkata, selama ini tidak pernah alumni Aswara dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah dan dia adalah yang pertama.

"Sejak setahun lalu saya sering terbabit sebagai pemerhati dan ahli jemputan dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Aswara. Tak sangka, baru-baru ini saya menerima surat pelantikan sebagai Ahli Lembaga Pengarah menerusi kiriman emel memandangkan tiada majlis dapat dilakukan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Pelantikan ini membuatkan saya berasa seram dan takut kerana tidak pernah terbabit dalam pengurusan kerajaan melainkan pernah bergiat aktif sebagai ahli  pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) sebelum ini," katanya.

Zul berkata, tanggungjawab yang diberi akan digalas sebaik mungkin dan dia juga sudah merancang pelbagai inisiatif terbaik buat alumni dan pelajar Aswara.

Dalam masa sama, dia akan terus belajar dan menimba ilmu dalam menjalankan amanah itu..

Menurut Zul, peluang diberikan itu adalah satu anjakan baharu buat dirinya dalam menjaga kebajikan alumni dan pelajar Aswara.

"Ini adalah tahun kedua saya sebagai Presiden Alumni Aswara. Saya sudah merancang beberapa program untuk diketengahkan seperti Tabung Dana Alumni Aswara yang mana bantuan kecemasan ini dikhususkan untuk membantu pelajar yang mengalami kesempitan hidup. Alumni yang berdaftar secara sah juga akan ditawarkan Khairat Kematian. Inisiatif seumpama ini tidak pernah dilakukan namun akan dilancarkan tidak lama lagi.

"Selain itu, saya juga ingin membawa alumni Aswara ke tahap lebih tinggi kerana selama ini jarang alumni yang kini menjadi pemain industri diberi perhatian dan peluang untuk memikirkan sesuatu yang lebih besar bagi memartabatkan industri kreatif," katanya.

Dalam masa sama, pemenang Pelakon Pembantu Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21 ini akan menekankan aspek keilmuan kepada individu yang bercita-cita menjadi seorang anak seni.

"Melihat trend hari ini begitu mudah nak jadi pelakon. Namun, apa yang ingin saya tekankan, pengalaman dan bakat tidak cukup untuk menyakinkan diri seseorang itu layak digelar pelakon sebaliknya perlu ada ilmu.

"Lihat saja nama-nama besar yang lahir dari Aswara. Mereka adalah pelakon yang berkualiti dan sangat mementingkan ilmu. Jadi, saya nak pelakon baru yang lahir nanti perlu menuntut ilmu," katanya.

Selain Zul, dua lagi individu yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Aswara adalah penyanyi Datuk Syafinaz Selamat dan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Tan Sri Norliza Rofli.

Berita berkaitan

Syafinaz, Zul Huzaimy Ahli Lembaga Pengarah Aswara baru

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 2:53 PM