Mohd Rizon berkata Aswara peruntuk sebanyak RM150,000 untuk jayakan pementasan Tanah Akhirku. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD
Mohd Rizon berkata Aswara peruntuk sebanyak RM150,000 untuk jayakan pementasan Tanah Akhirku. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD
Amirul Haswendy Ashari


PRODUKSI Teater Tanah Akhirku sebelum ini berdepan pelbagai kekangan terutama kos penerbitan akhirnya menarik nafas lega apabila Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) bersetuju memperuntukkan dana khas.

Rektor Aswara, Profesor Datuk Ir Dr Mohd Rizon Juhari berkata Aswara setuju memperuntukkan dana sebanyak RM150,000 untuk menjayakan teater ini.

"Walaupun dalam kekangan kewangan semasa, Aswara mahu melihat pelajar berkeyakinan dan karya mereka setanding dengan karya profesional dalam industri.

"Peluasan seni dan budaya adalah satu agenda utama Aswara dengan mencungkil bakat pelajar sekolah yang meminati bidang seni memasuki Aswara pada peringkat diploma atau ijazah," katanya.

Pihak produksi teater pernah melakukan pelbagai usaha bagi mendapatkan tajaan, sejak awal tahun ini.

Teater Tanah Akhirku diarahkan oleh Naque Ariffin dan Aloeng Silalahi menampilkan pelakon popular tanah air antaranya Aeril Zafrel, Erma Fatima, Izzue Islam dan Angeline Tan.

Teater dipersembahkan dalam Bahasa Malaysia, Cina dan Inggeris ini bakal dipentaskan pada 28 Ogos sehingga 1 September di Panggung Sari, Istana Budaya.

Tiket dijual pada harga RM40, RM60, RM110, RM150, RM200, RM250 dan RM350 boleh dibeli melalui http://airasiaredtix.com sejak 13 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Ogos 2018 @ 7:38 PM