AMERUL
AMERUL
Oleh Rudy Imran Shamsudin


AMERUL Affendi dilihat penggiat industri lakonan sebagai pelakon berkarakter. Kebanyakan filem dan drama dibintangi kebanyakannya naskhah berat. Sesekali ada juga dia muncul dalam genre komedi, itu pun jarang sekali.

Muzikal?

Mungkin tidak terlintas kepada mereka yang mengikuti perkembangan kerjaya seni pemenang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-27 ini.

Namun, ia menjadi kenyataan apabila Amerul bersama beberapa lagi bekas pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara ) muncul dalam pementasan Gemilang Sebuah Muzikal sempena ulang tahun Aswara ke-25 di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), baru-baru ini.

Selain Amerul, turut menjayakan pementasan itu ialah Taqim Zaki, Dewi Seriesta, Zul Huzaimy, Najua P Ramlee, Hairi Safwan, Ayu Shuhara dan anggota kumpulan Floor 88, Eric Fuzi dan Ayie Elham.

Teater ini diarahkan Along Eyzendi bersama Khairunazwan Rodzy yang turut menghasilkan skripnya.

Amerul berkata, dia menerima tawaran membintangi Gemilang Sebuah Muzikal semata-mata untuk melihat keutuhan dan kesatuan yang wujud dalam kalangan ahli Alumni Aswara.

“Sebelum ini saya banyak dengar cerita yang tidak sedap membabitkan Alumni Aswara.

“Bagaimanapun, perkara seperti itu didengari hanya di luar sedangkan saya sendiri tidak tahu sama ada apa yang diperkatakan mengenai pertubuhan untuk bekas pelajar Aswara itu betul atau tidak.

“Selalu sangat dengar cerita, jadi saya berasakan lebih baik saya masuk, sertai dan lihat sendiri. Kadang-kadang kita dengar cerita saja pun tidak bagus. Ia tidak sihat untuk sebuah pertubuhan apatah lagi ia membabitkan diri kita secara langsung atau tidak langsung.

“Penganjuran pementasan teater ini memberi ruang kepada saya untuk menyertai dan bersama-sama dengan Alumni Aswara yang lain.

“Dengan cara ini juga, jika ada perkara yang dirasakan tidak bagus, saya boleh menyuarakan ia secara terus. Pada masa sama, saya bersama teman lain dapat bersama-sama membawa perubahan yang dikehendaki,” katanya.

Selain itu, dia menerima tawaran itu kerana mahu mencabar diri.

“Saya tidak pernah berlakon dalam teater muzikal, tetapi kali ini buat kerana mahu keluar dari zon selesa. Saya cuba lakukan perkara yang belum pernah dilakukan sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini, pelakon filem Crossroads: One, Two, Jaga ini lebih banyak bekerja di balik tabir kebanyakan pementasan teater.

Kehebatan Amerul di pentas teater juga tidak boleh disangkal, malah sebelum terkenal sebagai pelakon filem dan drama dia terlebih dulu aktif sebagai pelakon teater.

Antara karya teater dibintangi dan diminati ramai adalah Air Con dan Asrama RA All-Stars.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 5:00 AM