Sudirman Mohd Tahir


"DIA akan diam kalau saya nyanyikan lagu Azura," kata penyanyi legenda Datuk Jamal Abdillah yang membuat kejutan menyanyikan lagu itu sambil mendukung anaknya, Nur Azura Yamani, dua bulan pada majlis aqiqah yang diadakan di kediamannya, di Shah Alam, hari ini.

Jamal, 60, atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Mohd Ali berkata, dia mula menyedari perkara itu selepas sebulan anaknya dibawa pulang ke rumah apabila selamat dilahirkan pada 10 Oktober lalu.

Menurut Jamal, reaksi itu dianggap unik dan menyifatkan seolah-olah anaknya mengerti lagu itu ditujukan buat dirinya.

"Agak unik juga. Bulan pertama balik rumah dulu, setiap kali dia meragam saya akan nyanyikan lagu ini.

"Dia terus senyap apabila dengar lagu ini. Maknanya dia tahu lagu ini memang untuk dirinya. Dalam majlis tadi pun, dia asyik saja dengar saya nyanyi.

"Saya namakan anak Azura kerana nama ini dekat dengan hidup saya," katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi mengenai kehidupannya selepas lebih dua bulan mempunyai anak kecil, Jamal berkata rutin hariannya berubah.

"Saya masih lagi belajar macam mana nak uruskan anak kecil. Maklumlah sudah lama tak ada anak kecil. Namun, tidaklah sampai kekok. Azura senang dijaga.

"Apatah lagi dia menyusu badan. Jadi, saya tak banyak kerja. Kalau dulu, sewaktu Osama dan Zaki bayi, mereka minum susu formula jadi saya kena bangun malam.

"Kalau keluar kerja pula, saya kerap menghubungi isteri. Saya nak anak dengar suara saya," katanya.

Ditanya mengenai perancangan menambah cahaya mata, Jamal tidak menolak rezeki.

"Insya-Allah, nak tambah lagi. Isteri pun minta lagi dua atau tiga," katanya.

Jamal berkahwin dengan Zai Izzati Khiruddin, 25, pada 1 April 2017 di Ipoh, Perak.

Sebelum ini Jamal pernah berkahwin sebanyak tiga kali bersama Basariah Abdul Latiff, Noraina Mohd Yusof dan Fatimatuzahrah Samad tetapi berakhir dengan perceraian.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Jamal mempunyai dua anak lelaki iaitu Osama Yamani, 18, dan Ahmad Zaki Yamani, 13.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 4:33 PM
JAMAL Abdillah dan isteri, Zai Izzati meraikan majlis aqiqah anak mereka, Nur Azura Yamani di Seksyen 13, Shah Alam. FOTO: Aziah Azmee
JAMAL Abdillah dan isteri, Zai Izzati meraikan majlis aqiqah anak mereka, Nur Azura Yamani di Seksyen 13, Shah Alam. FOTO: Aziah Azmee