ASYRAF Muslim bersama barisan tenaga kreatif drama Matahari Terbit Lagi yang memenangi Drama Terbaik Anugerah Skrin 2014 di PWTC, malam tadi.
ASYRAF Muslim bersama barisan tenaga kreatif drama Matahari Terbit Lagi yang memenangi Drama Terbaik Anugerah Skrin 2014 di PWTC, malam tadi.
PELAKON Wanita Terbaik Drama, Puteri Balqis  didukung Ziela Jalil.
PELAKON Wanita Terbaik Drama, Puteri Balqis didukung Ziela Jalil.
Oleh Nor Akmar Samudin

Kuala Lumpur: Drama berjudul Matahari Terbit Lagi terbitan Al Hidayah Production Sdn Bhd diangkat sebagai Drama Terbaik pada majlis Anugerah Skrin 2014 (ASK2014) yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, malam tadi.

Pelakon Lelaki Terbaik Drama dimenangi Anuar Chew Abdullah menerusi lakonan berkesannya dalam Matahari Terbit Lagi, manakala Puteri Balqis muncul Pelakon Wanita Terbaik Drama yang dicalonkan menerusi drama Balqis.

Sementara itu, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik drama menjadi milik Namron menerusi aksi mantapnya dalam drama Balqis dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik drama mula dirangkul Nabila Huda (Balqis).

Pengarah Terbaik Drama pula berjaya diraih Azeli Mohammad menerusi arahannya dalam drama Matahari Terbit Lagi dan Drama Rantaian Terbaik menjadi milik Ummi terbitan Filmscape Production Sdn Bhd.

Seterusnya, drama Nasi Ayam Duda (Cinematic Sdn Bhd) muncul Drama Komedi Bersiri Terbaik, Lakon TV Terbaik dimenangi Eenaz Mokhtar dan Videografi Terbaik dirangkul Mohammad Mohd Rameli, kedua-dua daripada drama Matahari Terbit Lagi.

Sebanyak 23 kategori dicalonkan pada penganjuran kali ini yang bertemakan Anggun dan Prestij.

Anugerah dianjurkan sejak 1995 hingga kini bertujuan untuk mengiktiraf karyawan seni tempatan menerusi drama, filem, lakonan dan kerja di belakang tabir.

Bagi kategori filem pula, Tanda Putera terbitan Pesona Pictures Sdn Bhd muncul Filem Terbaik ASK2014, manakala Lakon Layar Terbaik jatuh kepada Hans Isaac dalam filem Lemak Kampung Santan.

Datin Paduka Shuhaimi Baba yang mengarahkan filem Tanda Putera diangkat sebagai Pengarah Terbaik Filem, manakala Pelakon Lelaki Terbaik Filem dimenangi Bront Palarae dan Pelakon Wanita Terbaik oleh Sharifah Amani menerusi filem sama iaitu Psiko Pencuri Hati.

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pula dirangkul Zizan Nin (Tanda Putera) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Natasha Hudson (Lemak Kampung Santan).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:17 AM