HAQIEM Rusli.
HAQIEM Rusli.
Najiy Jefri


“Saya terima permohonan maaf kumpulan itu apabila salah seorang ahlinya menghantar mesej peribadi di Instagram,” kata penyanyi Haqiem Rusli mengenai dakwaan single Pergi Saja dendangan kumpulan dari seberang, Symphony Band diciplak daripada lagu ‘berhantunya’, Tergantung Sepi.

Haqiem berkata, dia tidak menyimpan perasaan marah terhadap band terbabit sebaliknya berharap mereka belajar daripada kesilapan.

“Tidak perlu mengeruhkan lagi keadaan kerana wakil pihaknya sudah memohon maaf. Saya rasa itu sudah mencukupi.

“Namun, saya tidak tahu tindakan yang akan diambil pihak komposer, penulis lirik dan label. Saya harap ia tidak diperbesarkan kerana proses yang bakal dilalui akan mengambil masa yang lama.

“Cuma saya harap kalau mahu berkarya, buatlah dengan jujur. Meniru tak bagus dan carilah keaslian tersendiri,” katanya.

Menurut Haqiem, ketika dimaklumkan mengenai lagu hit yang dinyanyikan selama ini dikatakan diciplak oleh sebuah band, dia mengakui kecewa dengan tindakan itu.

“Saya agak kecewa kerana mereka tidak menunjukkan keaslian dalam muzik. Menciplak adalah sesuatu yang tidak sihat sedangkan mereka boleh mencipta lagu sendiri tetapi memilih untuk meniru.

“Ketika dimaklumkan salah seorang peminat, saya agak terkejut apabila mendapati ‘verse’ dan perletakkan susunan lagu agak sama,” katanya.

Terdahulu, kecoh apabila lagu Pergi Saja dendangan Symphony Band didakwa mirip dengan lagu Tergantung Sepi ciptaan Ibnu dan Ghuffran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 3:15 PM