HAQIEM Rusli. FOTO Blackpepper Production
HAQIEM Rusli. FOTO Blackpepper Production
Sudirman Mohd Tahir


Ketika ini nama penyanyi baru, Haqiem Rusli, 19, antara yang menjadi sebutan apabila dua lagunya, Segalanya dan Tergantung Sepi mendapat sambutan.

Namanya turut menjadi perhatian komposer dan penyanyi senior sedia ada.

Tidak sekadar menyanyi, Haqiem berbakat dalam bidang penciptaan lagu hingga menjadi pilihan beberapa penyanyi dan berjaya menaikkan nama mereka.

Antaranya Irfan Haris dan Putra Band. Terbaru, penyanyi Sufie Rashid, Ismail Izzani, Zamani Slam dan Tajul turut bekerjasama dengan Haqiem.

Bagi Haqiem sendiri, dua lagu yang melonjakkan namanya iaitu Segalanya dan Tergantung Sepi dianggap cukup bermakna apatah lagi ia berkaitan dengan diri sendiri.

Katanya, ia perlu agar lagu itu tidak kosong dan mudah dihayati setiap kali menyanyikannya. Pada masa sama, ia dapat dirasai pendengar.

“Dua lagu saya memang ada kena-mengena dengan kisah hidup saya. Disebabkan itu, saya berasakan ia sangat peribadi. Lirik lagu ini menceritakan bagaimana kehidupan saya dengan orang sekeliling dan percintaan.

“Saya selesa berkongsi pengalaman dalam lagu. Sekiranya ingin tahu kisah hidup saya, boleh dengarkan lagu saya. Bagi saya, ia lebih mudah. Bukan satu masalah untuk saya kerana apa yang penting adalah penghayatan ketika menyampaikan lagu.

“Lagipun, saya jenis kalau menyanyi ingin pendengar merasai dan faham lagu itu. Saya tidak mahu sekadar menyanyi,” katanya.

Menurut Haqiem, dua lagu nyanyiannya dan beberapa lagu yang dihasilkan bukti dia menyimpang dari landasan muzik 90-an seperti yang dibawakan penyanyi seangkatan dengannya.

“Saya kalau boleh inginkan kelainan dalam berkarya. Biarpun saya muncul bersama rakan penyanyi lain, tetapi muzik kami berbeza. Dalam perkara ini, saya punya matlamat dan misi tersendiri.

“Saya ingin majukan muzik tempatan. Dalam pada muzik 90-an kembali menjadi kegilaan, saya tampil dengan kelainan. Dalam perkara ini saya tidak mahu membataskan muzik. Biar semua orang boleh dengar muzik pelbagai,” katanya.

Cipta lagu untuk penyanyi lelaki

Dari sisi lain, Haqiem juga punya prinsip sendiri apabila mencipta lagu hanya untuk penyanyi lelaki.

Bagi Haqiem, dia mempunyai alasan kukuh kenapa tidak mahu menghasilkan lagu buat penyanyi wanita. Malah tegasnya, pendiriannya itu tidak akan pernah berubah.

“Banyak yang bertanya perkara ini. Apa yang boleh dikatakan, saya ada sebab tersendiri yang tidak perlu diperjelaskan,” katanya.

Seperkara lagi, Haqiem juga satu-satunya artis yang jarang memuat naik gambar bersama wanita yang tidak menutup aurat.

“Saya bukannya nak berlagak alim atau tunjuk diri bagus tetapi cuba mengelak daripada menjadi punca dosa. Setiap apa dilakukan, saya fikir kesan di sebaliknya. Saya tak pernah menghalang atau membataskan diri bergambar dengan mana-mana wanita.

“Saya banyak berubah ke arah yang lebih baik. Kesedaran itu timbul selepas tamat persekolahan. Walaupun ramai beranggapan bidang muzik ini melalaikan, ada cara lain yang kita boleh lakukan ke arah kebaikan.

“Macam saya, setiap kali selesai membuat persembahan, akan memberikan nasihat dan kata-kata berhikmah kepada penonton. Bukan apa, ini cara saya berdakwah. Pada masa sama, ia memaparkan kelainan dalam muzik saya,” katanya.

Album sulung

Perkembangan lain, Haqiem dalam proses menyiapkan album sulung yang memuatkan enam lagu iaitu empat lagu baru dan dua singlenya sebelum ini, Segalanya serta Tergantung Sepi.

Katanya, dalam album ini terdapat tiga lagu ciptaannya sendiri dan tiga lagi komposer lain. Empat lagu berentak balada.

“Insya-Allah, single ketiga saya yang juga lagu baru dalam album ini bakal dilancarkan tidak lama lagi berjudul Jatuh Bangun. Lagu berentak rancak ini hasil ciptaan saya sendiri bersama Omar K,” katanya.

Selain itu, Haqiem juga bakal mengadakan konsert mini di Kuching, Sarawak pada Disember ini.

Katanya, dia memilih Kuching kerana ingin menebus kekecewaannya selepas tidak dapat meluangkan waktu bersama peminat di sana.

“Ketika itu saya perlu bergegas ke tempat lain. Sedangkan ramai yang sudah menunggu saya. Disebabkan itu, saya ingin mengadakan persembahan khas untuk mereka. Tunggu informasi lanjut daripada saya nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2017 @ 2:19 AM