MOKHZANI. FOTO Arkib NSTP
MOKHZANI. FOTO Arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Ketua juri Separuh Akhir Muzik Muzik 36, Datuk Mokhzani Ismail menjelaskan pemilihan lagu Intan Payung nyanyian Noraniza Idris dan Bunga yang diumumkan layak ke pentas Anugerah Juara Lagu 36 (AJL36) adalah kerana kreativiti komposernya yang mengolah elemen tradisional.

Mokhzani berkata, adunan dengan rap serta hip hop juga membawa satu kelainan dalam lagu bertemakan nasihat itu.

"Kreativiti komposer menggunakan elemen tradisional itu diolah dengan penyanyi rap dan (muzik) hip hop yang membawa satu bentuk perjalanan lagu yang berbeza serta ada kelainan," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya sama ada lagu Intan Payung akan berdepan situasi sama seperti lagu 7 Nasihat nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama Kmy Kmo dan Luca Sickta di AJL35 lalu di mana kekalahannya disebabkan mengambil inspirasi daripada lagu rakyat, Mokhzani berkata, Intan Payung tidak ada cacat celanya.

"Apabila saya cakap mengenai keaslian, 7 Nasihat mengambil inspirasi daripada lagu rakyat, tapi tak bermakna ia meniru. Kebanyakan lagu kita akan lihat beberapa bar yang ada persamaan.

"Faktor yang membuatkan 7 Nasihat tidak menang adalah sebab ada lagu lain yang lebih baik. Pada saya, Intan Payung tak ada cacat celanya, begitu juga dengan 7 Nasihat. Ia tak salah selagi tak menceduk keseluruhan lagu rakyat. Apa yang dilakukan oleh komposer Intan Payung untuk membawa lagu rakyat ke peringkat lebih tinggi dan masukkan unsur hip hop, itu adalah yang terbaik dan memikat juri sekali gus melayakkannya ke AJL36," katanya.

Selain Intan Payung, 11 lagi lagu layak ke AJL36 ialah Mimpi nyanyian Haqiem Rusli, Sepi (Aina Abdul), Nafas Cinta (Khai Bahar & Aina Abdul), Boneka (Ernie Zakri), Purnama (Naim Daniel), Pelukan Angkasa (SOG & Shila Amzah), Salahku (Yonnyboii), AEWO (Shiha Zikir), Lara (Hael Husaini, Naim Daniel & Haqiem Rusli), Angkara (Siti Nordiana) dan Cinta (Marsha Milan).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 2:07 AM