Aaron Aziz pada majlis pelancaran filem pendek Bank Rakyat berjudul Tulus Ikhlas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini. FOTO ROHANIS SHUKRI
Aaron Aziz pada majlis pelancaran filem pendek Bank Rakyat berjudul Tulus Ikhlas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini. FOTO ROHANIS SHUKRI
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon, Datuk Aaron Aziz, 48, sangat terkesan dengan jalan cerita filem pendek Bank Rakyat berjudul Tulus Ikhlas sempena Aidilfitri lakonan dan arahannya.

Aaron berkata, itu antara sebab utama dia bersetuju menyahut cabaran untuk turut mengarah projek itu sebagai iklan raya pertama arahannya.

"Kalau saya 'feel' jalan cerita itu saya boleh buatlah. Ini sesuatu yang tak jauh daripada apa pernah saya lakonkan. Ia berkisar kekeluargaan, kebapaan dan babak-babak sedih itu sudah biasa untuk saya. Kalau berkenaan dengan anak-anak memang saya akan teruskan.

"Tahun ini saya pun beraya tanpa ibu. Saya terasa sangat dengan cerita ini. Setiap kali Aidilfitri, saya sentiasa teringatkan orang yang sudah tiada. Sekarang pun banyak kes kita dengar orang meninggal dunia secara mengejut.

"Sudah berlaku dan sangat biasa kebelakangan ini. Tak kisahlah sebab kemalangan atau sakit, tapi sudah tidak ada," katanya pada pelancaran Tulus Ikhlas, di sini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani.

Aaron mengakui durasi tujuh minit untuk filem itu menjadi cabaran besar buatnya.

Namun, dia puas terhadap hasil kerjanya dan berharap tidak dibanding dengan iklan raya lain.

"Tak ada tekanan pun. Sewaktu pertama kali dihubungi untuk berlakon cerita ini, saya ditanya jika berminat untuk mengarah sekali. Saya cakap kenapa tidak. Tapi tengok jalan cerita dia macam manalah.

"Macam mana saya nak suntik semua itu dalam jangka masa tujuh minit, sebuah cabaran besarlah. Banyak babak yang kena habiskan di banyak lokasi dan ramai anak-anak yatim serta kakitangan Bank Rakyat terbabit. Bukan senang kendalikan dalam masa dua hari.

"Harap orang takkan banding dan filem pendek raya lain sebab mesej yang Bank Rakyat nak sampaikan memang sama sekali berbeza," katanya.

Filem fiksyen pendek itu diterbitkan Razor's Edge Pictures Sdn Bhd. Ia mengisahkan kesedaran sosial kanak-kanak berusia 10 tahun, Rayyan, mengenai kemelut kehidupan anak-anak yatim yang tiada tempat berlindung dan kurang bernasib baik berbanding dirinya serta adik perempuan.

Selain Aaron, ia turut dibintangi Sharifah Husna Syed Mustaffa bersama dua pelakon kanak-kanak, Aaron Yusof Raj dan Adreana Jameela Raj.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 11:12 AM