Aaron Aziz
Aaron Aziz
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Tidak semua gelandangan menjalani kehidupan itu atas kesilapan sendiri. Kebanyakan mereka sudah patah hati dengan kehidupan dilalui sebelum ini terutama membabitkan hubungan kekeluargaan," kata pelakon popular Datuk Aaron Aziz berdasarkan pengalamannya menemubual beberapa gelandangan.

Aaron berkata, ada juga antara mereka yang terpaksa melarikan diri daripada Ah Long, tindakan mahkamah, kena 'scam' selain kebanyakannya diusir keluarga.

Menurut Aaron, apa yang gelandangan itu mahukan hanyalah kehidupan asal mereka selain mengharap kasih sayang daripada anak-anak dan keluarga.

"Lima tahun lalu saya pernah nak terbitkan program berbentuk eksperimen sosial. Jadi, pada episod pertama saya memilih dengan menyamar dan mendekati golongan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur. Rakaman semua dibuat menerusi kamera tersembunyi.

"Jam 6 petang mereka sudah mula ambil tempat dan hamparkan lapik tidur masing-masing. Kemudian, antara jam 7 ke 8 malam pula datang sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan makanan. Mereka semua beratur. Saya pun mendekati seorang pakcik dan duduk di sebelahnya. Apa membuatkan saya terharu, dia tanya adakah saya sudah makan, jika belum dia mahu memberikan satu bungkusan makanan yang disimpan untuk rakannya.

"Saya luangkan masa selama beberapa jam dengan mereka. Ada beberapa pakcik saya temubual. Ada yang sudah menjadi gelandangan selama 15, 12 dan lapan tahun. Terfikir juga apa terjadi. Mungkin ada kata mereka penagih dadah dan sebagainya.

"Daripada cerita mereka, semua ada anak, tapi mereka dihalau. Ada pula terpaksa keluar rumah demi anak-anak. Ada juga kena tipu, harta habis. Malah ada juga bekerja di pejabat, tapi tidur di situ," katanya.

Menurut Aaron, keputusan mereka menjadi gelandangan bukan sebab malas atau masa sekolah main-main, tapi faktor keadaan.

"Mereka ini kebanyakannya hati hancur dan harapan musnah. Ini bukan soal mereka malas, tapi mereka hancur sangat. Tidak perlu nak sedarkan mereka dengan menjerit atau apa, sebab itu adalah mereka. Mereka sudah terima kehidupan macam itu. Kalau nak tolong dan cakap mcm itu, takkan membantu. "Bukan semudah itu mereka nak ubah diri. Mereka memang sudah putus harapan, segala-galanya sudah tidak ada. Sebab itu tak boleh tinggi suara dengan orang mcm ini. Mereka tak nak jadi jutawan dan kaya pun. Mereka cuma mahukan keluarga dan anak saja selain nak orang berikan kasih sayang. Mereka juga mahu sistem kehidupan yang berlaku adil pada mereka," katanya.

Bagaimanapun menurut Aaron, penerbitan program itu tidak diteruskan kerana tidak mahu mengaibkan mereka.

"Akhirnya saya cakap pada penerbit tak perlu buat program ini. Pertama, saya tidak mahu buka aib mereka. Kedua, ketika temubual wajah mereka terdedah dan tidak mahu mereka berasa malu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 9:41 PM