FAIZAL bersyukur Abby berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan pulang hari ini. FOTO Instagram jaiezzany
FAIZAL bersyukur Abby berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan pulang hari ini. FOTO Instagram jaiezzany
Syafil Syazwan Jefri


SUAMI kepada pelakon Abby Abadi, Muhammad Faizal Zakaria memaklumkan, bayi mereka yang dilahirkan pada 27 September lalu kini berada dalam keadaan kritikal kerana berlaku pendarahan dalam paru-paru.

Faizal yang menghubungi Harian Metro berkata, dia masih lagi menantikan makluman terbaru daripada doktor untuk hari ini.

"Semalam, doktor maklumkan kepada saya dan Abby bahawa bayi berada dalam keadaan kritikal kerana berlaku pendarahan dalam paru-paru.

“Hari ini, belum ada apa-apa maklumat terkini dan saya masih lagi menantikan berita daripada doktor," katanya kepada Harian Metro.

Selain itu, Faizal juga berkata, isterinya kini sudah dibenarkan pulang.

"Alhamdulillah, isteri saya berada dalam keadaan stabil dan dah dibenarkan pulang hari ini. Cumanya, setiap hari saya akan ke hospital untuk menghantar susu kerana bayi kami memerlukan susu ibu," katanya.

Di Instagram, Faizal menulis luahan perasaannya yang berdepan situasi sukar buat keluarganya.

"Hanya mengharapkan keajaiban daripada ALLAH yang mampu mengubah segala-galanya. Allah lebih berkuasa dan Maha mendengar. #DoakanBabykami #SemogaPanjangUmurnya #HanyaDoaMampuMengubahTakdir," tulisnya di Instagram.

Sehingga kini, bayi pasangan Faizal dan Abby masih lagi ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Sungai Buloh untuk pemantauan.

Pasangan Abby dan Faizal berkahwin pada 14 Ogos 2015 dan mempunyai dua anak angkat, Muhammad Daiyan Fayyad dan Maisara Dayana Fathia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 4:08 PM