'TUN Dr Mahathir. FOTO Mohd Fadli Hamzah
'TUN Dr Mahathir. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Wartawan HM


Kuala Lumpur: "Saya ingin mengucapkan terima kasih atas ucapan yang bermakna pada hari lahir saya pada usia 99 tahun.

"Saya pun tidak tahu berapa lama lagi masa yang saya ada. Saya dedikasikan selama hidup saya untuk negara.

"Saya ucapkan terima kasih di atas sokongan sebelum ini yang anda berikan dan ucapan sempena hari lahir saya".

Demikian mesej ringkas melalui audio kepada media daripada bekas Perdana Menteri yang juga individu tunggal di negara ini menjawat jawatan itu sebanyak dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini genap berusia 99 tahun.

Dr Mahathir dilahirkan pada 10 Julai 1925, namun tarikh kelahiran rasmi beliau direkodkan pada 20 Disember 1925 bertempat di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.

Beliau adalah anak bongsu daripada sembilan beradik kepada pasangan suami isteri, Mohamad Iskandar dan Wan Tempawan Wan Hanafi.

Dr Mahathir memegang rekod tempoh paling lama berkhidmat sebagai Perdana Menteri dalam sejarah Malaysia dan Asia Tenggara, iaitu 22 tahun dari 1981 hingga 2003.

Ketika dipilih semula buat kali kedua pada Mei 2018 sebagai Perdana Menteri ketujuh, beliau turut memegang rekod sebagai Perdana Menteri paling tua di dunia.

Tarikh lahir isteri Dr Mahathir yang sangat setia di sampingnya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali pula adalah 12 Julai 1926, jatuh dua hari lagi dengan usia mencecah 98 tahun.

Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah yang melangsungkan perkahwinan pada 5 Ogos 1956 mempunyai tujuh cahaya mata.

Semua tujuh anaknya diberi nama yang bermula dari huruf 'M' iaitu Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar.

Berkongsi petuanya sebelum ini di media, Dr Mahathir pernah memberitahu bagi memastikan tahap kesihatan diri sentiasa berada pada paras maksimum dengan bersederhana dalam pengambilan makanan serta melakukan senaman.

Pada ulang tahun kelahirannya ke-99, Dr Mahathir masih sibuk memenuhi undangan dan bertemu dengan pelbagai pihak di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 8:21 PM