Siti Noraini Mohd Syukri, 36, memangku bayinya, Wan Shahrul Ramadhan Wan Azrizan, lima bulan, yang dilahirkan ketika berusia tujuh bulan dalam kandungan kerana faktor darah tinggi yang naik mendadak. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Siti Noraini Mohd Syukri, 36, memangku bayinya, Wan Shahrul Ramadhan Wan Azrizan, lima bulan, yang dilahirkan ketika berusia tujuh bulan dalam kandungan kerana faktor darah tinggi yang naik mendadak. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Oleh Siti Rohana Idris


Tumpat: Wan Shahrul Ramadhan Wan Azrizan dilahirkan dengan berat 1.2 kilogram (kg) sahaja dan selepas lima bulan, bayi itu sukar membesar dengan baik kerana masalah paru-paru.

Ibunya, Siti Noraini Mohd Syukri, 36, berkata, dia melahirkan anak bongsu itu secara kecemasan ketika kandungan tujuh bulan kerana mengalami darah tinggi.

Katanya, ketika di hospital, dia sudah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan memandangkan darah naik mendadak dan sukar stabil.

"Doktor gesa bersalin segera bagi mengelak risiko lain dan macam-macam perasaan timbul ketika itu, hinggalah saya pilih bersalin secara pembedahan.

"Sebaik dilahirkan, Wan Shahrul terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) kerana saiznya yang sangat kecil serta mengalami komplikasi paru-paru.

"Dua bulan berkampung di hospital sebelum anak dibenar keluar. Namun tidak sampai seminggu berada di rumah, dia kembali dirawat kerana masalah pernafasan," katanya ketika ditemui di rumah mentuanya di Kampung Talak di sini.

Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan aktivis masyarakat, Wan Zahari Wan Othman yang hadir menyampaikan bantuan dan zakat.

Menurutnya, sejak dilahirkan Wan Shahrul sudah tiga kali dirawat di hospital dan terbaharu pada bulan ini yang disebabkan kuman dalam darah.

"Anak saya perlu mengambil empat jenis ubat setiap hari serta dibekalkan dua jenis pam untuk bantuan pernafasan.

"Dia juga perlukan susu khas yang harganya agak mahal buat kami yang bergantung kepada suami hanya bekerja sebagai tukang rumah," katanya yang mempunyai dua lagi anak masih bersekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 7:45 AM