ANTHONY Loke Siew Fook (tengah) pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Bernama.
ANTHONY Loke Siew Fook (tengah) pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Bernama.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Pengangkutan menegaskan tidak timbul isu Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) tidak mampan berikutan kenaikan kos pembinaan infrastruktur berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/24.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata MRT Corp ialah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) justeru tidak timbul isu syarikat itu tidak boleh membayar hutang.

"Tanggungan hutang dari segi kos pembinaan adalah dijamin kerajaan, dibayar oleh kementerian dan dipastikan Kementerian Kewangan supaya ada pembayaran balik yang berterusan. Maka, tidak timbul syarikat itu tidak mampan," katanya semasa sidang media di Parlimen pada Rabu.

Beliau berkata pihaknya tidak menjangkakan perkara yang dimaksudkan dengan salah pengurusan.

"Sebab yang terkumpul itu adalah kos pembinaan, dan kalau kita lihat dari segi kemampanan operasi, memang tidak boleh tampung balik, tetapi kita perlu ingat MRT ini ialah projek kerajaan," katanya.

Loke berkata LKAN itu perlu dilihat dari pelbagai sudut dan bukan semata-mata mengatakan MRT Corp tidak mampan.

Ini kerana perbelanjaan dana modal pembangunan kerajaan akan mengambil masa yang panjang untuk mendapatkan semula pulangan, katanya.

"Dari segi kewangan memang agak sukar untuk kerajaan menerima balik dana yang telah dibelanjakan sebab kutipan daripada tambang memang agak rendah berikutan kadar tambang yang agak rendah," katanya.

Beliau berkata pembinaan infrastruktur adalah untuk menjana pertumbuhan ekonomi, pertumbuhan kawasan bandar raya serta memastikan kesalinghubungan yang baik di antara satu tempat dengan tempat yang lain selain memudahkan pergerakan rakyat.

Beliau berkata, kerajaan masih berhasrat melaksanakan MRT3 kerana projek itu diperlukan untuk melengkapkan rangkaian metro rel di Lembah Klang dan kemudahan itu akan mendorong pertambahan pengguna.

"Kerajaan juga akan memfokuskan dana untuk meningkatkan kesalinghubungan batuan pertama dan akhir dalam masa dua tahun ini," katanya.

Ketika ditanya sama ada terdapat cadangan untuk menaikkan tambang pengangkutan awam, beliau berkata buat masa ini kerajaan belum berhasrat meneliti semula kadar tambang walaupun tidak pernah dinaikkan sejak 10 tahun lalu.

Sementara itu, semasa menggulung usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata sebagai syarikat yang ditubuhkan khusus untuk membina infrastruktur rel bandar serta memiliki aset, MRT Corp menerima sumbangan daripada kerajaan untuk memenuhi tujuan itu.

"Kerugian' yang telah dinyatakan dalam LKAN adalah kos yang dibelanjakan untuk pembinaan infrastruktur MRT1 dan MRT2.

"Kos-kos ini telah diaudit oleh juruaudit luar syarikat setiap tahun dan perkara ini didapati bukan disebabkan oleh salah urus oleh pihak pengurusan syarikat," katanya.

Beliau berkata bilangan penumpang laluan MRT1 telah mencapai 250,000 hingga 270,000 penumpang sehari, peningkatan sebanyak 20 peratus daripada kadar penumpang sebelum pandemik Covid-19.

Berdasarkan LKAN, setakat 31 Disember, 2023, MOT telah menyalurkan secara suku tahunan sejumlah RM1.944 bilion atau 37.1 peratus daripada keseluruhan sumbangan yang diluluskan iaitu RM5.245 bilion kepada Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd (MRTS), anak syarikat MRT Corp.

Sejumlah RM1.553 bilion atau 29.6 peratus daripada sumbangan yang diluluskan telah dibelanjakan bagi pembayaran kepada kontraktor dan perunding.

Manakala, maklum balas daripada pemaju projek dan pemilik aset, MRT Corp, menyatakan peningkatan kos projek tidak dapat dielakkan kesan pandemik Covid-19 yang mengakibatkan kenaikan harga bahan mentah di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 8:44 PM