JERABEK (kiri) berlatih dengan rakan sepasukan menjelang perlawanan dengan KDA FC, Jumaat ini. FOTO FB KDN FC
JERABEK (kiri) berlatih dengan rakan sepasukan menjelang perlawanan dengan KDA FC, Jumaat ini. FOTO FB KDN FC
BERNAMA

Kota Bharu: Pemain pertahanan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Michal Jerabek menuntut rakan sepasukannya terus mengekalkan momentum kemenangan apabila menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, Jumaat ini.

Pemain kelahiran Republic Czech itu berkata, beliau percaya rakan sepasukannya mampu mengulangi kemenangan seperti ketika bertemu PDRM FC pada pertengahan Jun lalu di Stadium Sultan Muhammad IV.

"Kami perlu menunjukkan corak permainan terbaik yang ada pada pasukan bagi memperoleh kemenangan di tempat lawan.

"Saya rasa kami semua sangat bersedia biarpun sedar Kedah adalah pasukan sukar untuk dijinakkan terutama ketika beraksi di halaman sendiri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jerabek berkata, bagi mendapatkan momentum kemenangan itu, beliau dan rakan sepasukannya perlu bekerja keras kerana pasukan lawan bukan mudah untuk ditewaskan.

"Bukan sesuatu yang mudah apabila bertandang ke Kedah, tetapi kami perlu bekerja keras dalam 90 minit masa perlawanan nanti.

"Kami sudah membuat persediaan rapi termasuk menjalani latihan serta mengambil kira barisan jurulatih.

"Apa yang kami tunjukkan dalam sesi latihan turut cuba diterjemah di dalam padang, selain perlu menunjukkan corak permainan mantap bagi merampas mata pada pertembungan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 8:29 PM