ALIF gembira dengan sambutan luar biasa showcase jelajah pertamanya. FOTO Ihsan Instagram Petron Malaysia
ALIF gembira dengan sambutan luar biasa showcase jelajah pertamanya. FOTO Ihsan Instagram Petron Malaysia
Syanty Octavia Amry


JIKA sebelum ini penyanyi Alif Satar tidak bersedia untuk mengadakan konsert, sambutan luar biasa yang diterima pada showcase jelajahnya yang bermula hari ini membuatkan dia menarik nafas lega.

Dihadiri hampir 300 peminat, Alif mengakui teruja dan terharu dengan sambutan yang diterima.

Alif ketika ditemui selepas showcase yang diberi nama ‘I Want You To Love Me’ berkata, dia gembira dengan sokongan yang diterima oleh ramai pihak terutamanya penganjur dan peminat.

"Saya gembira atas sokongan diberi oleh mereka yang terbabit dalam menjayakan showcase ini. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.

"Meskipun sebelum ini saya tidak bersedia untuk mengadakan konsert berskala besar, saya anggap showcase ini sebagai 'pemanas badan' untuk aktiviti seterusnya," katanya.

Pada showcase yang berlangsung sejam itu Alif turut menjemput kumpulan nasyid Raihan menyanyikan lagu Sesungguhnya.

Showcase yang berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur itu turut mendapat tajaan daripada Petron Malaysia.

Alif turut mempersembahkan lagu popularnya seperti Jangan Nakal, Lelaki Seperti Aku, Sesungguhnya Aku dan banyak lagi.

Jelajah showcase akan diteruskan lagi ke Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 9:03 PM