ALIF bersama pemuzik pengiringnya.
ALIF bersama pemuzik pengiringnya.
Oleh Syanty Octavia Amry


JIKA sebelum ini Alif Satar belum bersedia mengadakan konsert berskala besar, tetapi perasaan itu berubah selepas kejayaan Jelajah Mini Showcase pertamanya yang diadakan di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Alif berkata, pada mulanya dia bimbang kerana merasakan belum setaraf penyanyi terkenal untuk berada di pentas konsert besar.

Namun, selepas melihat sambutan luar biasa peminat terhadap persembahannya di pusat hiburan dan restoran terkenal itu, Alif mula yakin untuk mengadakan konsert besar selepas ini.

“Saya bersyukur dan gembira dengan sambutan dan sokongan yang diterima. Sokongan yang diberikan penaja seperti Petron Malaysia dan Airlines Enrich membuatkan persembahan ini berjaya,” katanya.

Dalam persembahan yang berlangsung lebih satu jam itu, Alif mempersembahkan lagu-lagu popularnya seperti Jangan Nakal, Lelaki Seperti Aku, Akhiri Penantianku, Nona Jakarta, Akan Tiba, Sesungguhnya Aku dan lagu terbarunya iaitu I Want You To Love Me.

Alif turut menjemput kumpulan nasyid popular Raihan menyanyikan lagu Iman Mutiara dan Thank You Allah.

Berkongsi pembabitan Raihan dalam persembahan itu, Alif berkata, dia teruja apabila Raihan sudi menerima pelawaannya walaupun pada awal bimbang berikutan imej nasyid yang dibawa ke pusat hiburan berkenaan.

“Mula-mula saya bertanyakan kepada mereka, bolehkah menyanyi di tempat seperti itu? Namun, kata mereka menyanyi adalah cara mereka berdakwah dan tidak kira di mana saja tempatnya.

“Mungkin berdakwah di masjid adalah perkara biasa tetapi di tempat seperti itu orang akan berfikiran pelik. Mereka juga beritahu sudah empat kali mengadakan persembahan di Hard Rock Cafe di Jakarta,” katanya.

Alif berkata, sambutan yang diterima terhadap kehadiran Raihan juga sangat luar biasa dan jika tiada halangan untuk jelajah seterusnya pihaknya mungkin akan mengundang Raihan.

Selepas ini, Alif akan mengadakan persembahan di Hard Rock Cafe Pulau Pinang pada 28 September, Kota Kinabalu (12 Oktober) dan Melaka (20 Oktober).

“Saya melihat kerjasama kami ini memberikan impak positif, malah kami akan terbabit sama menjayakan konsert amal yang akan diadakan pada 2 November ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 5:20 AM