ALIF gembira apabila single yang baru dilancarkan selama seminggu itu mendapat maklum balas baik. FOTO Khairul Azhar Ahmad
ALIF gembira apabila single yang baru dilancarkan selama seminggu itu mendapat maklum balas baik. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI dan pelakon terkenal, Alif Satar teruja apabila pertama kali bakal menjayakan siri jelajah di tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Sabah dan Kuala Lumpur sempena pelancaran single baru I Want You To Love Me.

Alif, 29, atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar berkata, projek kali ini dianggap lebih istimewa kerana persembahan itu diadakan di Hard Rock Cafe dan mendapat tajaan Petron.

Katanya, persembahan siri jelajah itu akan dijayakan bersama kumpulan saya iaitu The Locos.

“Insya-Allah, ia akan bermula bulan depan hingga Oktober. Alhamdulillah, projek ini mendapat tajaan daripada pihak Petron menerusi kempen Fuel & Fly.

"Ini adalah persembahan siri jelajah pertama saya sepanjang pembabitan dalam bidang seni. Sebelum ini hanya pernah buat mini showcase dan konsert. Jadi, saya berasakan ia melengkapkan lagi catatan perjalanan kerjaya.

"Malah, saya juga gembira apabila single yang baru dilancarkan selama seminggu ini mendapat maklum balas baik. Lagu ini juga dipilih menjadi lagu tema drama Kau Yang Pertama yang mula bersiaran Isnin depan di slot Akasia, TV3," katanya kepada Harian Metro.

Alif yang sekali lagi dipilih menjadi pengacara program Big Stage 2019 turut memasang impian menambah lokasi bagi siri jelajah itu.

"Selepas tiga lokasi ini, kalau boleh nak juga buat di tempat lain. Tapi, terpulang kepada penaja. Kalau diberi pilihan, saya teringin nak buat di Pantai Timur terutama Kelantan dan Terengganu. Memang tak pernah lagi untuk persembahan sebegini.

"Kalau memang dapat direalisasikan, saya bersyukur dan seronok sangat," katanya.

Selain itu, Alif berkongsi dia juga bakal menjayakan konsert bersama Raihan di Kuala Lumpur dan Singapura pada tahun hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 8:05 PM