ALIF Satar menghiburkan pengunjung di Hard Rock Cafe Pulau Pinang. FOTO Danial Saad.
ALIF Satar menghiburkan pengunjung di Hard Rock Cafe Pulau Pinang. FOTO Danial Saad.
Zuhainy Zulkiffli


“SO sweet...” Itu antara pujian dilontarkan peminat Alif Satar ketika menyaksikan artis lelaki itu membuat persembahan pada Petron Mini Showcase di Hard Rock Penang, Batu Feringghi, semalam.

Bagaikan tidak puas menonton persembahan selama 60 minit itu, ternyata penonton yang ‘sporting’ turut memeriahkan suasana dan menyanyi bersama.

Mendendangkan sembilan lagu seperti Cukup Indah, Akhiri Aku, Nona Jakarta, Akan Tiba, Sesungguhnya Aku, I Want You To Love Me, Jangan Nakal dan Lelaki Seperti Aku dengan iringan The Locos Band menyaksikan dia mendapat tepukan gemuruh.

Aliff berkata, sambutan diterimanya amat baik, malah ada peminat datang dari luar Pulau Pinang iaitu Kedah, Perlis, Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Singapura.

“Terima kasih atas sokongan dan saya yakin mereka yang hadir hari ini adalah peminat setia serta mengikuti perkembangan Alif sepanjang masa.

“Melihat kepada sambutannya, inilah Alif mahu, tambahan pula ia adalah persembahan pertama saya di Hard Rock Penang,” katanya.

Pulau Pinang menjadi destinasi kedua jelajah mini showcase berkenaan selepas di Kuala Lumpur dan seterusnya akan menemui peminat di Kota Kinabalu (12 Oktober) dan Melaka (20 Oktober).

Jelajah berkenaan diadakan bagi meraikan serta menghargai seramai 124 pengguna Petron dan Enrich serta peminat Alif di wilayah utara.

Peserta yang hadir layak bertanding dalam Peraduan Fuel&Fly Petro dan Enrich ke New Zealand bersama Alif.

Alif berkata, kerjasama dengan Petron memasuki tahun kelima itu amat dihargai, malah ia kempen terbesar pernah dilakukan Petron.

“Keuntungan ini adalah untuk semua orang, bukan sahaja pengguna Petron dan Enrich, tetapi kepada peminat serta Alif sendiri.

“Malah jika diberi peluang, saya mahu buat lagi macam ni.

“Bila sebut Pulau Pinang, ada tiga perkara Alif ingat iaitu nasi kandar, durian Balik Pulau dan keenakan cendol,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 8:58 PM