ANTARA peserta yang menyertai pertandingan PUBG anjuran UNIC. (Gambar kanan) Fakhrul. FOTO Arkib NSTP dan Ihsan Fakhrul UNIC
ANTARA peserta yang menyertai pertandingan PUBG anjuran UNIC. (Gambar kanan) Fakhrul. FOTO Arkib NSTP dan Ihsan Fakhrul UNIC
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


"KAMI bukan pengganas dan tidak ajar remaja menjadi pengganas. Program ini hanya bertujuan merapatkan hubungan bersama ummah," kata anggota kumpulan UNIC, Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin, 33, atau Fakhrul.

Fakhrul menzahirkan kekecewaan sebaik pertandingan Player Unknown's Battlegrounds (PUBG) UNIC yang dianjurkan di Gombak, Selangor pada Ahad lalu dilabel sebagai aktiviti keganasan.

Menurutnya, dia dikritik hebat di Instagram (IG) kononnya permainan atas talian itu membentuk peserta menjadi jahat dan ganas.

Katanya, ada individu menuduh kumpulan nasyid tidak sepatutnya mencemar kesucian Islam menerusi permainan tembak menembak.

"Aktiviti ini dirancang sudah lama dan dibuat secara dalaman di pejabat (kami). Tujuan sebenar kami mahu mendekati remaja dan ia terpulang niat masing-masing," katanya dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, program bermula 10 pagi hingga 6 petang itu menyaksikan 30 peserta berusia 14 tahun hingga 20-an menyertainya dan berjalan lancar.

"Ada seorang remaja lelaki menyertai pertandingan ini dan baru terbabit kemalangan jalan raya. Dalam keadaan luka dan berseluar pendek dia beritahu mahu melihat program anjuran kumpulan nasyid.

"Kami tidak menolaknya sebaliknya melayan sama rata. Tiba waktu Zuhur semua peserta menunaikan solat berjemaah termasuk remaja yang kesakitan ini," katanya.

Katanya, dia mengajar remaja itu solat dan wuduk cara orang sakit dengan harapan individu itu dapat berubah.

"Remaja bermasalah tidak akan ke masjid atau berjumpa mufti sebaliknya melalui program sebegini. Kami ambil peranan untuk membentuk kebaikan bukan mengajar mereka menjadi pengganas," katanya.

Begitu juga penyertaannya dalam Muzikal Lawak Superstar, Fakhrul mahu mendekati artis lain dan dalam masa sama menyelitkan kebaikan serta akhlak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 8:24 PM