UNIC menjayakan program #PeaceForYemen dan Jelajah Kemanusiaan Eropah bersama MuslimCare. - FOTO Mahzir Mat Isa.
UNIC menjayakan program #PeaceForYemen dan Jelajah Kemanusiaan Eropah bersama MuslimCare. - FOTO Mahzir Mat Isa.
Amirul Haswendy

KUMPULAN nasyid UNIC menjadi mangsa kesilapan teknikal sebuah syarikat penerbangan antarabangsa apabila bagasi mereka hampir 'terbang' ke Paris ketika tiba di Dublin, Ireland, semalam.

"Ketika 'check-in', tiada seorang pun daripada kami menyedari bagasi sudah 'check-in' ke Paris padahal pas masuk memang dibeli dan 'check-in' ke Dublin selepas selesai program di UK (United Kingdom).

"Apabila kami sampai ke tempat pungutan bagasi, kami mendapati ia sudah ditutup dan terpaksa menunggu lebih tiga jam," kata Fakhrul.

Ketika dihubungi hari ini, Fakhrul berkata program kumpulan UNIC dan Muslim Care Malaysia bersama pelajar Malaysia di Dublin juga hampir dibatalkan susulan insiden itu.

Apatah lagi permit untuk pertemuan itu tidak dibenarkan tertangguh pada jangka masa yang lama.

Fakhrul berkata ketika membuat laporan di bahagian 'Lost & Found', pihak syarikat penerbangan mengaku kesilapan teknikal itu berpunca daripada salah faham pihak mereka.

"Memanglah kami dijadualkan ke Paris tetapi selepas berada di Dublin, kami ada program di Lyon terlebih dulu, kemudian barulah ke Paris.

“Mungkin sebab itulah mereka keliru dan mujurlah pihak syarikat penerbangan memaklumkan penerbangan ke Paris belum berlepas dan bagasi kami sempat dikeluarkan," kata Fakhrul lagi.

Disebabkan situasi yang agak kelam kabut pada malam itu, mereka sekadar transit bermalam di Dublin dan pada jam 3 pagi terpaksa bergegas semula ke lapangan terbang untuk ke Paris.

Katanya, ini adalah insiden pertama dilalui MuslimCare walaupun sering ke luar negara untuk aktiviti kebajikan dan kemanusiaan.

UNIC dan MuslimCare ke beberapa negara Eropah bersempena program #PeaceForYemen dan Jelajah Kemanusiaan Eropah selama seminggu untuk menjalin hubungan dengan komuniti dan pelajar Malaysia di sana.

Ia adalah usaha untuk mengumpul dana misi bantuan 'Peace for Yemen' yang mensasarkan RM1 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 5:30 PM