Oleh Norhayati Nordin

Memulakan langkah dalam perjuangan muzik nasyid dengan empat anggota, kemudiannya menjadi tiga orang dan kini berdua, nyata ia bukan halangan untuk kumpulan UNIC terus bertahan.

Ditubuhkan pada 2002 dan dalam tempoh lebih sedekad tanpa jemu UNIC terus memperjuangkan muzik nasyid yang kini dilihat berbaloi. Meskipun sekarang bergerak secara duo, Bazli Hazwan Che Osman, 31, atau Bazli yang juga satu-satunya anggota asal UNIC serasi bergandingan dengan Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin atau Fakhrul.

Kemunculan Fakhrul, 29, yang mengisi kekosongan ditinggalkan anggota terdahulu UNIC nyata mendapat penerimanaan positif peminat kumpulan yang pernah popular dengan lagu You And I See dan Mahligai Kasih itu.

Bazli yang melancarkan album Mudahnya Berdoa baru-baru ini berkata, dia dan Fakhrul akan meneruskan perjuangan UNIC yang ditinggalkan beberapa anggota lain.

"Kami berdua menerima segala dugaan dan cabaran yang harus dihadapi UNIC untuk meneruskan perjuangan ditinggalkan dengan hati terbuka. Pun begitu, seiring dengan perkembangan muzik semasa, kini kami berdua turut sedia melakukan perubahan dalam lagu dihasilkan.

Apatah lagi, UNIC juga sebenarnya sudah lama melakukan perubahan muzik dalam lagu dihasilkan untuk kami kongsi bersama peminat," katanya.

Menurut Bazli lagi, UNIC juga berpaksikan identiti sendiri dan sering melakukan perubahan dalam muzik diketengahkan.

"Saya tak nafi seluruh industri muzik kini harus mengikut cita rasa pendengar, jadi muzik yang kami muatkan harus seiring dengan kehendak itu.

"Ditambah, perjuangan kami untuk sesuatu lagu itu sudah tentu mahukan mesejnya sampai kepada pendengar," kata Bazli.

Berbicara mengenai album memuatkan 17 doa membabitkan finalis program realiti TV kanak-kanak seperti Adik-Adikku dan Qari Junior iaitu Munir, Hadi dan Amnan, ujar Bazli doa dimuatkan adalah biasa didengar dan kegunaan harian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 January 2015 @ 5:01 AM