Sudirman Mohd Tahir

Keluarga sakinah, mawaddah dan warahmah. Itu yang cuba diterapkan dalam keluarga besar pelakon Memey Suhaiza dan Abby Abadi.

Lupakan apa yang pernah terjadi antara mereka, kini segala-galanya bertukar menjadi lebih indah. Malah, tidak ramai mampu menjalani perhubungan seperti yang terjalin di antara Memey dan Abby sekarang.

Menurut Memey, 31, atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi, percutian bersama kedua-dua keluarga sedikit sebanyak mengeratkan lagi silaturahim antara mereka.

Aktiviti seumpama itu mula dipraktikkan tahun lalu malah ia acara wajib setiap kali musim cuti sekolah.

“Idea percutian bersama ini daripada Kak Abby dan saya. Kami akan pilih tarikh yang semua anak-anak lapang. Ini kerana jadual cuti persekolahan berbeza. Selepas itu, baru kami pilih lokasi.

“Abang Norman dan Abang Jaie (suami Abby) ikut saja. Jadi, untuk kali ini kami memilih Pulau Redang kerana anak-anak sukakan pantai dan laut. Dalam masa sama, mereka dapat snorkeling dan cari makanan sedap.

“Sekiranya bawa ke tempat yang lebih kepada membeli-belah, takut mereka bosan pula. Kalau saya dan Kak Abby saja mungkin okay tapi kami mahu dahulukan apa yang anak-anak suka. Mereka jadi keutamaan kami,” katanya.


Menurut Memey, sejak tahun lalu hampir setiap bulan mereka bercuti bersama. Malah, kebanyakan lokasi percutian menarik di Semenanjung Malaysia sudah dilawati.

“Ini percutian pertama kami tahun ini. Insya-Allah, selepas ini kami merancang ke Pulau Sibu, Johor. Selepas itu, mungkin ke Sabah dan Sarawak pula.

“Apa boleh dikatakan, sebagai ibu bapa kami seronok melihat semua anak gembira. Kami ingin mereka tahu, kami sentiasa ada bersama mereka. Malah, mereka juga sedar bila-bila masa kami ada untuk mereka.

“Macam sekarang, tidak wujud istilah giliran siapa menjaga anak. Ini kerana, dalam diri kami tanggungjawab menjaga dan mengurus anak adalah milik bersama,” katanya.

Memey berkongsi, biarpun percutian mereka pada awalnya tidak disertai suami kerana menunaikan umrah, sebaik tiba di tanah air pada Khamis, Norman terus bergegas ke Pulau Redang.

Percutian ini disertai Memey bersama tiga anak iaitu Muhammad Darwisz Hakim, 6, Muhammad Dikhrisz Hakim, 4, dan Mikayla Delisha Hakim, lapan bulan.

Sementara keluarga Abby disertai lima anak iaitu Mohamed Danish Hakim, 16, Marissa Dania Hakim, 14, Maria Danisha Hakim, 11, Muhammad Dayyan Fayyad, sembilan bulan dan Dayana Fathia, lapan bulan.


Tak tunjuk kebahagiaan

Memey berkata, apa yang dibuat sekarang bukan bertujuan untuk memperagakan kebahagiaan. Sebaliknya, dia berharap perkara itu memberikan kesan positif kepada semua.

Malah, Memey bersyukur sekiranya keakraban bersama Abby dijadikan inspirasi dan ikutan wanita lain yang pernah melalui situasi sama seperti mereka.

“Kami sudah lalui pelbagai perkara. Allah tunjukkan ruang untuk sama-sama positif. Jadi, kami mahu sesiapa saja terutama peminat untuk melihat perkara ini secara positif.

“Kalau ada yang menjadikan kisah kami ini sebagai inspirasi untuk mereka berubah ke arah yang lebih baik, ia sesuatu yang bagus.

“Sebenarnya, ramai hantar mesej peribadi (DM) di IG bertanyakan macam mana saya dan Kak Abby boleh melalui fasa kehidupan seperti sekarang,” katanya.


Dalam perkembangan lain, Memey berkongsi keluarga besarnya itu bakal melancarkan akaun Facebook dan YouTube, Keluarga Sakinah Mawaddah Warahmah.

Menerusi akaun itu, mereka akan berkongsi secara langsung mengenai topik kekeluargaan seperti yang sering diminta peminat.

“Insya-Allah, akaun ini akan diaktifkan tidak lama lagi. Ia lebih menjurus perkongsian mengenai hubungan kekeluargaan. Sebagai permulaan, kami buat di Facebook dan YouTube dulu.

“Ini pun atas permintaan peminat yang sentiasa bertanya dan inginkan kami bercerita. Saya berharap, perkara ini akan menambah dan memberikan lebih banyak manfaat buat semua orang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 9:00 AM