BERSAMA anak yang makin membesar termasuk anak bersama bekas isteri, Abby Abadi.
BERSAMA anak yang makin membesar termasuk anak bersama bekas isteri, Abby Abadi.
Oleh Nor Akmar Samudin


Memiliki anak yang semakin membesar dan memerlukan perhatian, pasangan pelakon Norman Hakim, 39, dan Suhaiza Suhaimi atau Memey, 26, mula memperlahankan langkah dalam bidang lakonan.

Memey kini hanya mengambil tawaran berlakon yang tidak memerlukan masa lama di lokasi penggambaran dan di sekitar Kuala Lumpur saja.

Dia agak selesa berlakon dalam telefilem yang penggambaran mengambil masa sekitar tujuh atau lapan hari saja.

Terkini, ibu kepada dua cahaya mata ini sibuk di lokasi telefilem seram Tiga Tempat Kosong.

“Saya tidak akan berhenti berlakon, cuma akan mengurangkannya. Dalam keadaan sekarang, saya tidak boleh biarkan anak dibesarkan pembantu rumah kerana kasih sayang serta perhatian ibu sendiri tidak sama dengan orang luar.

“Hubungan rapat ibu bapa dengan anak perlu dipupuk sejak kecil lagi supaya apabila besar kita boleh jadi ‘kawan’ kepada anak. Mereka pula percaya dengan kita untuk meluah­kan segala masalah mereka.

“Kami memang bekerja keras untuk memberi yang terbaik untuk anak tetapi pada masa sama, kami tidak boleh abaikan mereka. Kemewahan mestilah seiring dengan perhatian kepada mereka,” katanya.

Norman juga sependapat dengan isterinya itu yang mana keluarga fokus utamanya kini.

Lantaran itu Norman lebih selektif dalam menerima watak.

“Lakonan sudah sebati dengan saya, maka mustahil untuk meninggalkan bidang itu terus. Apa yang boleh kami berdua lakukan kurangkan rentak dalam arena seni dan berjinak-jinak dalam bidang perniagaan untuk membolehkan kami meluangkan banyak masa dengan anak.

“Rutin saya kini setiap pagi hantar tiga anak dengan bekas isteri Abby Abadi ke sekolah dan tengah hari mengambil mereka. Saya bahagia dapat menjalani kehidupan seperti bapa yang lain,” katanya.

Buka butik dan gimnasium

Bagi mengukuhkan ekonomi keluarga sekali gus dapat lebih banyak masa dengan keluarga, baru-baru ini Norman dan Memey dengan sokongan kakak angkat mereka, Ellana membuka butik.

Murut Memey, butik diberi nama Melyana yang beroperasi di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur itu mendapat sambutan cukup baik bukan saja dalam kalangan pembeli di sekitar Lembah Klang tetapi dari Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei.

“Selain pelanggan lama yang sudah berususan de­ngan saya sejak berniaga secara ‘online’, kini dengan pembukaan butik wujud pelanggan baru. Alhamdulillah baru seminggu dibuka saya dan Abang (Norman) gembira Meylana tidak putus menerima kunjungan pelanggan sehingga lewat malam. Ada juga yang datang membeli setiap hari,” katanya.

Ibu kepada dua cahaya mata yang masih kecil itu juga mencari lokasi butik berdekatan kediaman mereka untuk memudahkannya berulang alik.

Dalam pada itu, Norman turut melangkah ke bidang perniagaan dengan mengusahakan gimnasium Mr Sado Gym & Fitness bersama anak saudaranya Dr Wadie Ainuddin Wahid di Petaling Jaya, Selangor.

Menurut Norman, gimnasium itu turut memberi keistimewaan kepada golongan wanita bertemakan Beriadah Sambil Beribadah setiap Selasa dan Jumaat bersama Memey dan Abby Abadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 12:07 PM