HATTA (kanan) bersama isteri, Azslender Abdul Aziz dan penguamnya, Faizul Mohd Nasir berbincang sesuatu pada sidang akhbar kes saman penganjur di Balai Berita. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
HATTA (kanan) bersama isteri, Azslender Abdul Aziz dan penguamnya, Faizul Mohd Nasir berbincang sesuatu pada sidang akhbar kes saman penganjur di Balai Berita. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Ridzuan Abdul Rahman


PENYANYI kumpulan rock Junction, Hatta, akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya tidak menerima permohonan maaf dan penjelasan daripada penganjur acara yang menggugurkan namanya daripada sebuah konsert baru-baru ini.

Hatta atau Kamarul Hatta Zaharudin, 52, kesal dengan sikap penganjur berbuat demikian yang boleh menjejaskan nama serta menjatuhkan reputasinya sebagai artis dalam industri seni tanah air.

“Mereka sudah keluarkan poster, edar serta promosikan menerusi media sosial membawa maksud saya akan buat persembahan dalam Konsert Gegar Rock Retro yang berlangsung di MaTIC, Jalan Ampang pada 23 Februari lalu.

“Bagaimanapun selepas itu nama saya digugurkan oleh penganjur rentetan daripada isu bayaran pada 15 Februari lalu membabitkan persembahan lain,” katanya kepada Harian Metro.

Hatta berkata, masalah berpunca daripada sikap penganjur sendiri yang melengah-lengahkan pembayaran untuk persembahan terdahulu dan ‘sentap’ apabila ditegur olehnya.

Katanya, ia bermula daripada persembahan Konsert Rock Retro di Melaka pada 2 Februari lalu.

"Dalam grup WhatsApp yang diwujudkan oleh penganjur, artis solo dijanjikan bayaran RM1,000.

"Cara bayaran ialah deposit sebelum konsert dan bakinya diselesaikan selepas persembahan.

"Tapi deposit hanya dibayar selepas selesai persembahan dan bakinya dijanjikan selepas itu," katanya.

Hatta mempertikaikan sikap penganjur yang pilih kasih kerana segelintir artis yang terbabit sudah mendapat bayaran penuh.

"Saya terpaksa minta beberapa kali dan akhirnya diberikan baki penuh pada 15 Februari.

"Kemudian, dia hantar mesej beritahu nama saya digugurkan daripada konsert di MaTIC atas alasan ada kenyataan daripada pihak ketiga iaitu isteri saya, Linda yang menyindirnya di Facebook.

"Masalahnya, kenyataan bukan daripada saya. Dia sendiri cakap dalam grup WhatsApp antara artis dan penganjur tiada masalah," katanya.

Menurutnya, kenyataan Linda langsung tidak menyebut atau ditujukan kepada penganjur.

"Peguam saya, Faizul Mohd Nasir menyatakan bahawa tindakan itu salah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

"Saya dah 31 tahun menyanyi dan apa yang berlaku seolah-olah menunjukkan saya seorang artis bermasalah.

"Peminat mungkin pandang saya negatif. Karier saya juga akan terjejas kerana penganjur lain akan ingat saya artis bermasalah," katanya.

Hatta memberikan masa tiga hari sehingga hari ini kepada penganjur bagi menjelaskan tindakan yang dibuat serta membuat permohonan maaf secara terbuka.

Sementara itu wakil penganjur CA Event, Sabrina Taib ketika dihubungi mengakui kecewa dengan Linda, namun tidak mempunyai masalah dengan Hatta.

"Saya yang terlebih dulu menghantar notis tuntutan terhadap Linda kerana sikapnya.

"Sebenarnya Hatta terima penjelasan saya yang terpaksa menggugurkannya daripada konsert ini kerana isterinya memalukan kami tanpa usul periksa.

"Dia menggunakan kedudukan sebagai isteri seorang artis di Facebook untuk tujuan ini," katanya.

Menurut Sabrina, pihaknya sudah dua kali meminta Linda menghentikan provokasi kerana memberi kesan buruk terhadap konsert itu.

"Ia bukan berlaku sekali kerana tahun lalu pun dia buat perkara sama.

"Untuk apa saya nak ambil orang yang menjatuhkan reputasi kami?.

"Saya ada ramai saksi yang tahu saya tiada masalah dengan Hatta, namun sikap Linda yang memaki hamun dan mencarut memang menimbulkan masalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 3:34 PM